China, Kazakhstan Komited Bina Komuniti Berkongsi Nasib Kedua-dua Negara
China bersedia bekerjasama dengan Kazakhstan menambah elemen baharu dan kedinamikan ke dalam pembinaan komuniti berkongsi nasib kedua-dua negara yang dilihat boleh berperanan sebagai tenaga positif dalam pembangunan dan kestabilan serantau, bahkan dunia.
Demikian kata Presiden China, Xi Jinping ketika menghadiri rundingan dengan rakan sejawatnya dari Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev di sini pada Rabu.
Xi menegaskan bahawa ketika menyahut cabaran strategik dalam pembangunan di negara masing-masing, China dan Kazakhstan perlu meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan strategi pembangunan, berkongsi pengalaman dalam tadbir urus negara, dan melaksanakan lebih banyak projek kerjasama yang saling menguntungkan dan sama menang demi kemajuan negara masing-masing.
"China bersedia bekerjasama dengan Kazakhstan untuk meningkatkan tahap kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, dan menetapkan matlamat baharu untuk melipatgandakan jumlah perdagangan dua hala secepat mungkin.
"China komited meningkatkan pengimportan barangan berkualiti tinggi dari Kazakhstan, dan meneroka potensi dalam kerjasama bidang baharu seperti e-dagang dan ekonomi digital," kata Xi.
Xi juga mencadangkan kedua-dua negara meningkatkan skala kerjasama dalam pelaburan terhadap kapasiti industri, dan meneroka potensi dalam kerjasama bidang sains dan teknologi inovatif, kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu, e-dagang rentas sempadan dan komunikasi satelit.
"China bersedia bekerjasama dengan Kazakhstan untuk memperhebat pembinaan Laluan Pengangkutan Antarabangsa Trans-Caspian bagi membentuk landskap pengangkutan yang pelbagai dimensi.
“China menghargai kerja yang dilaksanakan oleh Kazakhstan sebagai negara pengerusi bergilir Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan berharap agar Sidang Kemuncak SCO di Astana kali ini berjalan lancar,” kata beliau.
Tokayev pula berkata pihaknya menghargai konsep kedamaian yang termaktub dalam diplomasi China serta Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Peradaban Global yang dikemukakan Presiden Xi, selain menilai tinggi sumbangan penting China terhadap keamanan dan pembangunan sejagat.
Beliau menekankan komitmen untuk berusaha bersama dengan China menggalakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib kedua-dua negara malah menyumbang kepada pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan, selain mengambil bahagian secara aktif dalam pembinaan mekanisme China-Asia Tengah, meningkatkan komunikasi dan kerjasama dengan China dalam rangka kerja pelbagai hala seperti SCO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kedua-dua pemimpin negara ini turut menandatangani Kenyataan Bersama China-Kazakhstan selepas rundingan itu dan menyaksikan termeterainya puluhan dokumen kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi dan perdagangan, kesalinghubungan, aeroangkasa, pendidikan dan media.