Perbincangan Menteri Luar China, Belanda Berfokuskan Peningkatan Komunikasi

2024-07-12 15:00:24  CRI
Share with:

China bersedia menjalin hubungan yang erat dengan kerajaan Belanda baharu, dan mengadakan dialog dari segenap aspek untuk meningkatkan persefahaman.

  

Menteri luar China, Wang Yi berkata demikian ketika berhubung dengan rakan sejawatnya dari Belanda, Caspar Veldkamp semalam.


Wang menyatakan bahawa China sama sekali tidak menerima tuduhan yang bukan-bukan yang dibuat NATO dalam sidang kemuncak blok itu yang baru menutup tirai di Washington. Dilihat dari aspek kedamaian dan keselamatan, China adalah antara negara kuasa besar yang mempunyai catatan paling baik di dunia, yang sentiasa merupakan penggerak kedamaian dan kestabilan dalam masyarakat antarabangsa. Perbezaan antara China dengan negara NATO tentang sistem politik dan nilai-nilai yang diamalkan, tidak sepatutnya dijadikan alasan NATO untuk menghasut perlawanan dengan negara Tembok Besar.


NATO digesa melaksanakan pendekatan yang betul, iaitu berusaha meningkatkan dialog dan persefahaman, dan memupuk rasa percaya di peringkat asas antara satu sama lain demi mengelakkan diri daripada membuat keputusan strategik yang salah.


Wang menekankan bahawa NATO sepatutnya menumpukan kepada tugas sendiri, dan bukan mencampuri urusan Asia-Pasifik dan hal ehwal dalaman China serta mencabar hak dan pentingan China yang sah. Sementara itu, China bersedia mengekalkan interaksi dengan NATO berdasarkan prinsip sama rata dan saling menghormati.


Caspar Veldkamp pula menyatakan bahawa dalam menghadapi situasi antarabangsa yang bergolak, Belanda tidak bersetuju “mencantas hubungan” dengan China, dan bersedia mengekalkan komunikasi dengan China untuk mengembangkan hubungan dua hala.


Beliau berkata, pertelingkahan yang wujud antara Eropah dengan China tidak boleh dijadikan penghalang dalam kerjasama kedua-dua pihak. Belanda menyokong usaha mengembangkan hubungan Eropah-China yang bersifat konstruktif. NATO yang komited memelihara keselamatan negara anggotanya, kekal satu pertubuhan yang bersifat defensif.