Forum Nishan Wadah Perbincangan Keharmonian Antara Tamadun
Forum Tamadun Dunia Nishan ke-10 yang memfokuskan budaya tradisional dan tamadun moden diadakan di bandar Qufu, provinsi Shandong di timur China pada 10 hingga 11 Julai.
Peserta dari dalam dan luar negeri berkumpul di kaki Gunung Nishan untuk mengadakan pertukaran dan dialog tamadun, meningkatkan pertukaran dan kerjasama sesama rakyat, serta membincangkan keharmonian antara tamadun berbeza.
Para peserta berpendapat bahawa Forum Nishan telah muncul sebagai platform penting untuk mempraktikkan Inisiatif Peradaban Global (GCI), menyemarakkan nilai bersama seluruh insan, serta mencorak pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan. Selain itu, Forum Nishan juga dianggap sebagai jendela penting untuk dunia memahami bangsa dan budaya China serta keadaan semasa di negara Tembok Besar ini.
Selain itu, forum edisi ini buat julung-julung kalinya mengadakan forum budaya sukan yang bertemakan “budaya tradisional China dan semangat Olimpik”.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach amat gembira mengetahui semangat Olimpik menjadi topik perbincangan penting untuk Forum Nishan.
Menurut beliau, pengasas gerakan Olimpik moden, Le baron Pierre De Coubertin ketika menyambungkan semula Sukan Olimpik, menganggapnya sebagai pendekatan untuk meningkatkan persefahaman antara pelbagai negara dan rakyat.
"Objektif Forum Nishan adalah selari dengan gagasan tersebut, dan ia dapat meningkatkan persefahaman antara pelbagai tamadun melalui pertukaran dan dialog yang saling hormat berdasarkan pewarisan kebijakan Confucius," ujar Bach.
Untuk rekod, Nishan ialah tempat lahir Confucius.