China Seru Pulihkan Bekalan Dana kepada UNRWA

2024-07-13 15:58:23  CRI
Share with:

Negara-negara terbabit diseru secepat mungkin memulihkan pembekalan dana kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA).


Demikian dinyatakan Naib Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang pada satu sesi derma anjuran UNRWA pada Jumaat.


Menurut Geng, kesemua negara diharap memberikan sokongan dan kemudahan kepada UNRWA yang berperanan menghulur bantuan kepada pelarian Palestin dengan merujuk kepada resolusi Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA).  Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pernah berkali-kali menegaskan bahawa peranan yang dimainkan UNRWA tidak boleh digantikan. 


Menurut satu laporan yang disiarkan oleh satu regu pemeriksa yang berkecuali yang dipimpin oleh bekas Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna, UNRWA sudah dilengkapi mekanisme yang bersifat neutral dalam bilangan besar. Perdebatan berhubungan keneutralan pertubuhan berkenaan sudah dinoktahkan. Negara-negara terbabit dinanti-nantikan secepat mungkin menyediakan sokongan dana bagi meredakan krisis kewangan yang semakin meruncing yang dihadapi UNRWA.


Tambah Geng, sejak tercetusnya konflik di Gaza, China pernah berkali-kali membekalkan bantuan yang diperlukan. Pada Sidang Menteri Luar ke-10 Forum Kerjasama China-Arab yang diadakan pada Mei lalu, pemimpin China pernah mengumumkan menambah RMB500 juta (RM322 juta) lagi untuk misi meredakan krisis kemanusiaan dan pembangunan semula di Gaza, disusuli pemberian bantuan kemanusiaan kecemasan yang bernilai RMB100 juta (RM64 juta) sebelum itu, selain menyediakan sumbangan dana USD3 juta (RM14 juta) kepada UNRWA.