FTZ Rintis Xinjiang Catat Prestasi Cemerlang
Nilai import dan eksport wilayah Xinjiang bagi separuh pertama 2024 mencatat 220.63 bilion yuan (RM141.79 bilion), menyaksikan lonjakan sebanyak 48.4 peratus dari tahun ke tahun, menurut statistik Kastam Urumqi.
Zon Perdagangan Bebas (FTZ) Rintis Xinjiang memulakan operasi secara rasmi pada November tahun lalu, sekali gus menjadi FTZ rintis ke-22 di China dan juga zon seumpama pertama yang ditubuhkan di kawasan sempadan barat laut negara Tembok Besar.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesalinghubungan antara China dengan negara-negara Asia Tengah semakin dipergiat, didorong oleh usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Statistik terkini Kastam Urumqi menunjukkan jumlah import dan eksport Xinjiang menyasar lima negara Asia Tengah mencecah 147.56 bilion yuan (RM94.83 bilion) pada separuh pertama tahun ini, menokok 23.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Angka itu menyumbang sebanyak 66.9 peratus kepada nilai keseluruhan import dan eksport perdagangan luar wilayah berkenaan.
Perjanjian pengecualian visa China-Kazakhstan yang berkuat kuasa secara rasmi pada November tahun lalu turut mempermudah pertukaran ekonomi dan dagangan sesama rakyat dua negara.
Dalam pada itu, FTZ Rintis Xinjiang secara terlebih dahulu membuka 'laluan hijau' pelepasan kastam pantas untuk semua produk pertanian dan hasil sampingan yang dikendalikan di pintu sempadan.
Inisiatif seumpama membantu memperluas skala perdagangan wilayah itu dengan negara-negara Asia Tengah membabitkan produk pertanian dan barang makanan berkualiti.