Kenali Pembaharuan China pada Era Baharu: Rakyat Tunjang Negara
Pada akhir tahun 2012, Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) Xi Jinping mengadakan tinjauan ke kaunti Fuping, provinsi Hebei dan mengunjungi keluarga petani yang berpendapatan rendah.
Sepanjang berada di kaunti itu, beliau telah menjejakkan kaki ke dua buah kampung yang berstatus miskin.
Pada April 2019, Xi turun padang ke kampung terpencil di kawasan pergunungan kaunti Shizhu, bandar Chongqing. Pembangunan di kawasan mundur seumpama itu sentiasa menjadi tumpuannya.
Xi sering turun mendekati masyarakat di peringkat akar umbi untuk mendengar dan mendalami denyut nadi rakyat serta mengatasi masalah yang muncul dalam proses pembangunan dan pembaharuan.
"Rakyat tunjang negara. Andainya rakyat hidup sejahtera, tentu negara aman sentosa." Beliau acap kali menegaskan bahawa kebajikan merupakan asas kepada kebahagiaan rakyat dan keharmonian masyarakat.
Gagasan pembangunan berpaksikan rakyat yang diketengahkan Xi menjadi nilai diutamakan dalam dasar-dasar PKC berkaitan pembangunan sosioekonomi dan juga hala tuju pemerkasaan pembaharuan pada era baharu.
Gagasan itu turut dijelaskan menerusi kenyataan Xi iaitu "aspirasi rakyat terhadap kehidupan lebih indah merupakan matlamat perjuangan kita."
Dalam pada itu, pemerkasaan pembaharuan dijalankan secara menyeluruh merangkumi bidang-bidang berkaitan kebajikan rakyat termasuk sistem perubatan, pendidikan, daftar isi rumah dan lain-lain.
Antara usaha lain yang turut dilakukan termasuk pembaharuan cukai pendapatan individu yang membawa manfaat kepada 250 juta rakyat, penguatkuasaan Kanun Sivil, 'revolusi tandas' di kawasan desa dan pengasingan sampah sarap di bandar.
Dalam tempoh lebih sedekad lalu, lebih 2,000 cadangan pembaharuan telah dikemukakan membabitkan segenap aspek kehidupan rakyat termasuk politik, ekonomi, budaya, sosial dan ekologi. Semuanya menerapkan gagasan berpaksikan rakyat.
Sepertimana yang ditegaskan Xi bahawa matlamat asas pemerkasaan pembaharuan secara menyeluruh adalah untuk menggalakkan keadilan sosial dan memastikan lebih banyak hasil pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat secara sama rata.