China Seru Cergaskan Semula Perkongsian Pembangunan Global

2024-07-17 13:59:01  CRI
Share with:

Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong menyeru supaya pembangunan sentiasa diprioritikan dan sinergi dibentuk ke arah mencergaskan semula perkongsian pembangunan global. 


Seruan itu dibuat beliau ketika berucap mewakili Kumpulan Rakan Inisiatif Pembangunan Global dalam sesi debat umum Forum Politik Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Matlamat Pembangunan Mampan pada Isnin.


Fu menekankan perlunya masyarakat antarabangsa mempraktikkan multilateralisme, mengukuhkan solidariti dan kolaborasi serta bertindak bersama menggerakkan Agenda Pembangunan Mampan 2030 kembali ke landasan yang betul.


Aspek pembangunan mesti diletakkan sebagai teras kerjasama antarabangsa, katanya sambil menggesa supaya negara maju menyalurkan sokongan berupa dana, teknologi dan pembinaan keupayaan kepada negara membangun sebagai memenuhi komitmen mereka berkaitan program bantuan pembangunan.


Beliau berkata masyarakat antarabangsa perlu mendukung peranan PBB sebagai penyelaras pusat dalam kerjasama pembangunan antarabangsa, meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan sesama negara dan menggerakkan pembentukan landskap pembangunan global yang seimbang, terbuka, terangkum, saling untung dan makmur bersama.


Berhubung matlamat kelaparan sifar, Fu mengesyorkan supaya komuniti antarabangsa memperkasa kerjasama membabitkan pembasmian kemiskinan serta berusaha menjaga keselamatan makanan di peringkat global.