WTO Teliti Dasar Perdagangan China
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) memulakan kajian semula kali ke-9 terhadap dasar perdagangan China di Geneva, Switzerland pada Rabu.
Naib Menteri Perdagangan China Li Fei dalam sesi berkenaan menyatakan China komited memperkasa keterbukaan bertaraf tinggi, mengurangkan lagi tarif import, meningkatkan tahap kemudahan perdagangan, memperluas keterbukaan sektor perkhidmatan dan melonggarkan akses pasaran untuk pelaburan asing.
China juga akan memantapkan pembaharuan melibatkan peringkat lebih mendalam, memainkan sepenuhnya peranan penentuan pasaran dalam peruntukan sumber sambil mendorong pembangunan inovatif, hijau, digital dan inklusif.
Beliau berkata China mengambil bahagian secara menyeluruh dalam rundingan pembaharuan WTO, menyokong pembangunan inklusif sistem perdagangan multilateral dan membantu anggota membangun mengintegrasikan diri dalam rantaian nilai global dengan lebih baik.
Wakil anggota WTO yang menghadiri sesi kajian semula itu menyanjung tinggi sumbangan positif China untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dunia dan menjaga sistem perdagangan multilateral, serta usaha negara Tembok Besar dalam memperkasa pembaharuan domestik dan memperluas keterbukaan.
Mereka berkata China yang merupakan rakan dagang paling penting bagi banyak anggota WTO, terus memudahkan serta meningkatkan liberalisasi perdagangan dan pelaburan menerusi langkah seperti mengurangkan tarif, mengoptimumkan prosedur pelepasan kastam dan mengeluarkan senarai negatif.
Inisiatif China memacu transformasi ekonomi ke arah hijau melalui pemerkasaan inovasi teknologi serta sumbangannya kepada pembangunan rendah karbon dan usaha menangani perubahan iklim di peringkat global juga mendapat penghargaan daripada peserta sesi berkenaan.