Kalangan Perniagaan AS Diharap Menyumbang kepada Perkembangan Hubungan Negaranya dengan China
Menteri Luar China, Wang Yi menegaskan, China sejak sekian lama komited untuk berusaha bersama dengan Amerika Syarikat (AS) mengukuhkan dialog, mengawal perselisihan dan memperkasakan kerjasama bagi menstabilkan dan menambah baik hubungan bilateral. Pada masa yang sama, China juga mempunyai kepentingan teras, prinsip dan "garis merah" yang mesti dipertahankan.
Wang Yi yang juga Ahli Biro Politik Jawatankuasa Puast Parti Komunis China (PKC) berkata demikian ketika bertemu dengan satu delegasi yang terdiri daripada anggota lembaga pengarah Majlis Perdagangan AS-China (USCBC) di Beijing pada Isnin.
Wang menyifatkan hubungan AS-China sebagai salah satu hubungan dua hala yang terpenting di dunia.
“China dan AS bekerjasama atau berkonfrontasi berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dan masa depan umat manusia.
"Ketika mengendalikan hal ehwal berkaitan dengan AS, China konsisten dalam mengamalkan tiga prinsip, iaitu saling menghormati, hidup bersama secara damai dan bekerjasama untuk mewujudkan situasi sama menang,” kata beliau.
Wang juga menzahirkan harapan agar USCBC bergerak seiring dengan China untuk mewujudkan perkembangan pertubuhannya sendiri, selain menyumbang kepada perkembangan hubungan China-AS dan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara.
Wakil-wakil USCBC termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FedEx Corporation, Rajesh Subramaniam pula menyambut baik sesi pleno ketiga Jawatankuasa Pusat PKC ke-20 yang mengeluarkan isyarat untuk memperincikan pelaksanaan dasar pembaharuan ekonomi dan meningkatkan tahap keterbukaan, dan berharap agar China boleh secara terus-menerus menarik lebih banyak pelaburan asing.
Mereka berkata, kalangan industri AS berkeyakinan terhadap China dan komited untuk mendorong hubungan AS-China berkembang ke arah yang kukuh dan seimbang.
Selain itu, USCBC bersedia memainkan peranan sebagai penggerak dalam mengembangkan hubungan AS-China, dengan memanfaatkan pengaruh positif yang boleh dibawakannya.