Ekspo China-Aisa Selatan Ke-8 Buka Tirai di Kunming

2024-07-24 15:59:17  CRI
Share with:

Ekspo China-Asia Selatan Ke-8 yang membuka tirainya di bandar Kunming provinsi Yunnan pada Selasa telah menyaksikan penglibatan lebih 2,000 perusahaan dari 82 buah negara dan rantau serta pertubuhan antarabangsa, dengan hampir separuhnya dari seberang laut membabitkan semua negara Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Ekspo yang bertemakan "solidariti dan kolaborasi bagi pembangunan bersama" itu menumpukan kepada pameran industri yang berpotensi besar dalam kerjasama China dengan negara Asia Selatan dalam bidang ekonomi dan perdagangan, termasuk tenaga hijau, pertanian moden, perubatan dan penjagaan kesihatan, kebudayaan dan pelancongan. 


Terdapat sebanyak 15 pavilion yang tersedia dalam ekspo itu, termasuk 9 untuk pengunjung profesional yang merangkumi teknologi pembinaan, pembuatan, tenaga hijau, pertanian moden dan produk mercu tanda geografi. Sementara itu, pavilion industri kopi yang dibuka untuk julung kalinya dalam sejarah Ekspo telah menyaksikan penglibatan lebih 160 buah perusahaan. 


Selain itu, terdapat lagi dua pavilion khas untuk pempamer dari Asia Selatan yang dilengkapi gerai pameran sebanyak 800 unit, dan zon pameran khas untuk Pakistan yang hadir sebagai tetamu kehormat.


Untuk rekod, perdagangan antara China dengan negara Asia Selatan mencecah hampir USD200 bilion (RM935 bilion) pada tahun 2023, meningkat sekali ganda berbanding tahun 2013 yang pernah menyaksikan berlangsungnya Ekspo edisi pertama.