Xi Balas Surat Kakitangan Xiamen Airlines
Presiden Xi Jinping menitipkan harapan supaya Xiamen Airlines terus memainkan peranan aktif dalam berkhidmat kepada pembangunan sosioekonomi serta menggalakkan pertukaran dan kerjasama rentas Selat Taiwan.
Beliau membuat kenyataan itu dalam surat balas kepada kakitangan Xiamen Airlines sempena ulang tahun ke-40 penubuhan syarikat penerbangan berkenaan.
Menerusi surat itu, Xi meluahkan rasa gembira kerana dapat menyaksikan lonjakan besar dicapai dalam pembangunan Xiamen Airlines sepanjang empat dekad lalu.
Beliau menzahirkan harapan supaya semua kakitangan terus komited terhadap reformasi dan inovasi, memperkukuh daya saing teras syarikat penerbangan, sekali gus menyumbang kepada usaha memajukan pembangunan berkualiti sektor penerbangan awam dan membina negara kuat dari segi pengangkutan.
Ditubuhkan pada Julai 1984, Xiamen Airlines merupakan syarikat penerbangan pertama di China yang beroperasi berasaskan sistem korporat moden.
Syarikat penerbangan itu kini mengendalikan lebih 400 laluan udara domestik dan antarabangsa dengan menawarkan perkhidmatan kepada hampir 40 juta penumpang saban tahun.