Kenapa Guizhou Beri “Tiket Percuma” Pelancongan Kepada Penduduk Jiangsu?

2024-07-25 16:32:56  CRI
Share with:

Sempena cuti sekolah musim panas, ramai kawan-kawan sekampung dengan Satria yang tinggal di provinsi Jiangsu melancong ke provinsi Guizhou. Persoalannya kenapa mereka pergi ke Guizhou? Rupa-rupanya Guizhou telah memberikan “kemasukan percuma” ke ratusan destinasi pelancongannya bagi penduduk dari Jiangsu. Namun, inisiatif itu telah menimbulkan kekecewaan pelancong dari provinsi lain, sekaligus menganggapnya sebagai satu diskriminasi.

 

Sebenarnya inisiatif ini sebagai usaha untuk “membalas budi” pelbagai provinsi di China yang banyak membantu pembangunan dan pembasmian kemiskinan di Guizhou dalam belasan tahun ini. Inisiatif yang dipanggil “Dasar Tiket Percuma” ini berbeza setiap tahun. Contohnya provinsi Zhejiang, Fujian, bandar Shanghai, Chongqing dan beberapa tempat lain pernah tersenarai dalam tempoh beberapa tahun lalu.

 

Provinsi Guizhou yang berada di dalam kawasan pergunungan terletak di barat daya China. Justeru lokasi yang terpencil ini menyukarkan pembangunan bagi ekonomi tempatan. Meskipun Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) Guizhou meningkat 13% pada tahun 2012, namun ia masih menduduki tempat ke-26 daripada 31 provinsi di negara ini, malah kira-kira 10 juta penduduk tempatan masih berada dalam kemiskinan.

 

Pada 2013, kerajaan pusat telah memilih 10 bandar yang maju dari segi ekonomi untuk membantu 10 bandar miskin di provinsi Guizhou. Bandar Suzhou dari provinsi Jiangsu dipilih untuk membantu bandar Tongren. Hasilnya, dalam tempoh 10 tahun, Suzhou telah membawa masuk 250 buah syarikat untuk melabur di Tongren, sebanyak 19 buah taman perindustrian dan pertanian telah dibangunkan, bantuan dalam bidang logistik dihulurkan untuk membantu menghantar produk khas tempatan ke tempat lain, selain menaik taraf pelancongan tempatan dan banyak lagi.

 

Tidak hanya Suzhou, bahkan seluruh provinsi Jiangsu turut memberikan sokongan kepada pembangunan Guizhou. Misalnya Parti Zhi Gong secara proaktif membantu Guizhou. Dianggotai ramai tenaga pakar yang bekerja sebagai guru dan doktor, jawatankuasa parti Zhi Gong dari Jiangsu banyak kali menghantar sukarelawan ke pelbagai tempat di Guizhou dalam usaha untuk menyokong sektor pendidikan dan kesihatan masyarakat tempatan, selain menyumbang fasiliti dan membantu melatih tenaga profesional tempatan.

 

Akhirnya pada 2020, menerusi kerjasama kedua-dua pihak, seramai 927 ribu penduduk miskin di Tongren berjaya keluar daripada kancah kemiskinan.

 

Kini Guizhou menjadi destinasi pelancongan yang sangat popular bukan sahaja kepada pelancong tempatan, malah pelancong antarabangsa. Five-hundred-meter Aperture Spherical Radio Telescope (FAST) yang terbesar di dunia, atau dikenali sebagai “mata langit” berada di Guizhou. Bukan itu sahaja, kira-kira separuh daripada 100 jambatan paling tinggi di dunia dibina di provinsi ini. Gunung Fanjing dan Air Terjun Huangguoshu yang pemandangannya sangat indah dan tular di media sosial, juga berada di sini. Guizhou mempunyai pelbagai etnik minoriti seperti Miao, Dong, Shui dan Yao yang mempunyai lebih 1000 pesta tradisional, sekaligus menarik kedatangan pelancong untuk menghayati kekayaan sumber alam dan kebudayaan yang istimewa. Manakala dari sudut sukan pula, pertandingan Bola Keranjang di Kampung Taipan berjaya menarik penyertaan pasukan bukan sahaja dari seluruh negara tetapi juga selebriti dan atlet profesional NBA.

 

Justeru itu, Guizhou mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh negara, khususnya yang pernah memberikan bantuan kepada provinsi ini, untuk menyaksikan perubahan dan pembangunan terkini Guizhou.