Wang Yi Temui Setiausaha Luar Filipina
Menteri Luar China Wang Yi bertemu dengan rakan sejawatnya dari Filipina, Enrique Manalo di Vientiane pada Jumaat.
Wang berkata hubungan China-Filipina sekali lagi berhadapan cabaran dan kesulitan susulan Filipina membelakangi konsensus kedua-dua pihak serta janji yang dibuatnya sendiri dengan mencabul hak maritim dan membesar-besarkan spekulasi pendapat umum.
Tegas beliau, sekiranya Filipina menempatkan sistem peluru berpandu jarak sederhana Amerika Syarikat (AS), ia akan mencetuskan ketegangan rantau dan perlumbaan senjata. Hal ini tidak selaras dengan kepentingan dan hasrat rakyat Filipina.
Wang berkata China dan Filipina mencapai aturan sementara mengenai penghantaran bekalan kemanusiaan ke Terumbu Ren'ai mutakhir ini bagi memelihara kestabilan situasi maritim. Filipina perlu menunaikan komitmennya dalam hal itu.
Menurut beliau, hubungan dua negara kini berada pada persimpangan. Dialog dan rundingan ialah jalan yang betul, sedangkan konflik dan konfrontasi hanya menuju jalan buntu.
Sementara itu, Manalo berkata Filipina komited meredakan situasi menerusi dialog dan menangani percanggahan secara konstruktif.
Filipina bersedia melaksanakan konsensus yang dicapai mesyuarat mekanisme perunding bilateral mengenai isu Laut China Selatan untuk mengawal situasi maritim.
Tambah beliau, tahun depan merupakan jubli emas hubungan diplomatik Filipina-China. Filipina berhasrat meningkatkan komunikasi dengan China untuk memperkukuh kesalingpercayaan dan menambah baik hubungan dua hala.