Biasa Bagi Penduduk China, Tetapi Istimewa Bagi Pelancong Asing

2024-07-29 14:05:17  CRI
Share with:

Baru-baru ini seramai 200 orang pelajar sekolah menengah dari Amerika Syarikat (AS) mengadakan lawatan selama 14 hari ke lima bandar di China. Selepas mengunjungi pelbagai destinasi pelancongan terkenal seperti Kota Larangan dan Tembok Besar, wakil pelajar daripada rombongan tersebut berkata, antara yang memberi impak sepanjang lawatan ini adalah peranan yang dimainkan Jawatankuasa Penduduk Komuniti ketika berdepan masalah. Katanya, jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang jelas dan menyediakan perkhidmatan yang cekap dalam menyusun atur komunikasi dalam kalangan penduduk, supaya dapat mencari penyelesaian yang pragmatik. 


Sehingga kini banyak vlog yang mempromosikan destinasi pelancongan di China, dimuat naik menerusi pelbagai platform media sosial termasuk di luar negara. Jika dilihat, pelancong asing menumpukan kepada kehidupan seharian atau hal-hal yang menjadi kebiasaan penduduk tempatan seperti keadaan jalan raya yang lebih senyap dan lancar, bayaran menggunakan imbas muka di pasar raya, stesen subway yang bersih dan selamat serta banyak lagi. Hakikatnya semua ini merupakan sesuatu yang normal bagi penduduk tempatan, tetapi tidak bagi pelancong asing. Malah mereka juga tidak mengetahui dan memahami segala peranan dan operasi yang dimainkan Jawatankuasa Penduduk Komuniti. Selepas menonton video mereka, saya baru sedar, apa yang biasa bagi kami sebenarnya sangat istimewa bagi orang asing.


Jawatankuasa Penduduk Komuniti juga merupakan jabatan pentadbiran masyarakat di peringkat akar umbi. Sempena cuti persekolahan musim panas, si kecil telah banyak menyertai aktiviti-aktiviti menarik anjuran jawatankuasa ini di komuniti saya duduk. Antaranya kursus pertolongan cemas, aktiviti sukarelawan, tayangan filem di pusat komuniti dan banyak lagi.


Selain penganjuran aktiviti, mereka juga bertanggungjawab menjaga keselamatan komuniti. Sebelum ini, Satria pernah melaporkan kejadian percikan api pada bumbung sebuah gedung ketika waktu hujan. Laporan tersebut dibuat menerusi media sosial Kumpulan Penduduk Komuniti. Meskipun sudah malam, kakitangan jawatankuasa tersebut menghubungi Satria dan memaklumkan yang pihaknya akan menghantar staf dan menghubungi jabatan kerajaan berkaitan untuk melakukan pemeriksaan. Bukan itu sahaja, mereka turut memaklumkan hasil pemeriksaan dan pembaikpulihan kepada penduduk komuniti berkenaan secepat mungkin.


Sekiranya terdapat perselisihan faham antara penduduk dalam sesebuah komuniti, seperti ada aduan mengenai bunyi latihan piano yang kuat telah mengganggu waktu rehat dan lain-lain, jawatankuasa terbabit sedaya upaya akan menyelesaikan masalah tersebut, sekaligus membantu menyelaraskan komunikasi antara kedua-dua pihak.


Baru-baru ini, penggunaan penyaman udara dilihat semakin meningkat ekoran cuaca panas yang berlarutan beberapa bulan ini, justeru muncul masalah seperti titisan air dari penyaman udara yang telah mengganggu kehidupan jiran setempat. Tanpa berlengah, Jawatankuasa Penduduk Komuniti terus menghubungi syarikat pengurusan harta benda, dan minta mereka menghantar staf bagi memeriksa paip penyaman udara di setiap rumah, supaya titisan air ini dapat disalurkan ke luar bangunan sekaligus tidak menganggu kehidupan jiran.


Hal yang kecil ini adalah biasa di mata penduduk tempatan, tetapi sesuatu yang Istimewa bagi pelancong asing. Ini jelas memperlihatkan taraf pentadbiran kerajaan yang sistematik, pragmatik dan bertanggungjawab.