'Semangat Laluan Sutera', Aspirasi Bersama dalam Pertemuan Pemimpin China-Itali
Baru-baru ini, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni membuat lawatan ke China buat kali pertama dalam tempoh perkhidmatannya sempena menyambut ulang tahun ke-20 perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.
'Semangat Laluan Sutera' menjadi aspirasi bersama dalam pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping.
Presiden Xi menyifatkan 'Semangat Laluan Sutera' yang berteraskan konsep keamanan dan kerjasama, keterbukaan dan inklusif, saling belajar serta mewujudkan situasi saling menguntungkan dan sama menang sebagai khazanah milik bersama China dan Itali.
Perdana Menteri Meloni pula menyatakan kesediaannya untuk mewariskan dan menyemarakkan 'Semangat Laluan Sutera' yang sudah wujud sekian lama bagi membuka lembaran baharu dalam perkongsian strategik komprehensif Itali-China.
Untuk rekod, pemimpin China-Itali mengekalkan pertukaran rapat sejak sekian lama, manakala mekanisme dialog antara kerajaan kedua-dua negara pula beroperasi dengan lancar.
China merupakan rakan dagang terbesar bagi Itali di Asia, dengan perdagangan dua hala menokok USD70 bilion (RM322.7 bilion) selama tiga tahun berturut-turut. Pada masa ini, terdapat sebanyak lebih 1,600 syarikat Itali yang menjalankan perniagaan di China.
Sebagai anggota utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan G20, China dan Itali sama-sama menyokong amalan multilateralisme dan ekonomi yang terbuka di persada dunia.
Kesemuanya ini menjadi asas yang kukuh bagi kerjasama kedua-dua negara.
Pemimpin kedua-dua negara dalam pertemuan itu sepakat berpendapat, kedua-dua pihak perlu menggalakkan kerjasama tradisional dalam bidang pelaburan, ekonomi dan perdagangan serta meneroka kerjasama dalam ekonomi baru muncul seperti inovasi sains dan teknologi, kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan.
China mengalu-alukan pelaburan dari syarikat Itali, bersedia untuk mengimport lebih banyak produk berkualiti dari Itali, dan berharap Itali juga membantu pelabur China memanfaatkan ekosistem perniagaan yang adil, telus, selamat dan tanpa diskriminasi di negaranya. Manakala pihak Itali pula menegaskan sikap menentang 'mencantas hubungan' dan amalan perlindungan perdagangan, sebaliknya bersedia memainkan peranan positif dalam mempererat hubungan EU-China.
Siri konsensus dan hasil penting yang tercapai kedua-dua negara yang melibatkan dokumen kerjasama dalam bidang industri, pendidikan dan perlindungan alam sekitar serta pelan tindakan tiga tahun untuk mengukuhkan perkongsian strategik komprehensif dipercayai akan menyuntik momentum baharu ke dalam perkembangan hubungan China-Itali dan kondusif bagi memperkasakan kerjasama China-EU dalam bidang ekonomi dan perdagangan.