China Kutuk Keras Pembunuhan Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh

2024-08-01 11:29:27  CRI
Share with:

China membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ketua politik Hamas Ismail Haniyeh, kata Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong pada sesi tergempar Majlis Keselamatan, di New York pada Rabu.


Sesi tergempar mengenai pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh diadakan atas permintaan Iran, China, Algeria dan Rusia.


Fu menyifatkan pembunuhan Ismail Haniyeh sebagai sabotaj ke atas kesungguhan pelbagai pihak untuk mewujudkan kedamaian, di samping mencabuli prinsip asas Piagam PBB yang menghormati keutuhan wilayah dan kedaulatan pelbagai negara. 


Sementara itu, menurut Fu, China amat bimbang dengan kemungkinan peningkatan ketegangan di rantau berkenaan.


"Setakat ini, konflik di Gaza telah berlarutan selama hampir 300 hari, menyebabkan kehilangan 40,000 nyawa dan bencana kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. 


"Pihak-pihak terlibat patut menyahut seruan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan peperangan, melaksanakan sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB," ujar Fu.


Beliau menegaskan bahawa China membantah keras dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab yang berlaku pada mutakhir ini, termasuk serangan Israel ke atas kawasan selatan Beirut. 


"Operasi ketenteraan dan penyalahgunaan kekerasan bukanlah pendekatan penyelesaian. Ia hanya akan membawa kepada krisis yang lebih besar," kata Fu.