Dialog Global "Peluang untuk Dunia dari Pemerkasaan Pembaharuan China pada Era Baharu" Diadakan di Thailand dan Pakistan

2024-08-04 12:46:42  CRI
Share with:


Dialog global bertemakan “Peluang untuk Dunia dari Pemerkasaan Pembaharuan China pada Era Baharu” anjuran Kumpulan Media China (CMG), Persatuan Wartawan Thailand-China dan Kementerian Pembangunan dan Misi Khas Pakistan telah diadakan dengan jayanya di kedua-dua negara tersebut pada Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perdagangan Thailand, Phumtham Wechayachai dalam ucapan video menyatakan bahawa China sedang berusaha memperjuangkan matlamat pembangunan sosioekonomi yang berkualiti tinggi, yang dipercayai kondusif bagi pelbagai negara di dunia termasuk Thailand dalam mencapai kemajuan dan memacu pembangunan bersama. Menurut beliau, Thailand akan berganding bahu dengan China untuk mempergiat pembinaan di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), dan meningkatkan kerjasama ekonomi hijau demi pencapaian yang saling menguntungkan dan sama menang.

Menteri Pembangunan dan Misi Khas Pakistan, Ahsan Iqbal pula berkata, Sidang Pleno ketiga Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) penggal ke-20 telah menggariskan rangka tindakan baharu bagi pembangunan masa depan. Pemerkasaan pembaharuan dan peningkatan tahap keterbukaan China bukan sahaja boleh menawarkan lebih banyak ruang pembangunan bagi sektor korporat domestik dan rakyat tempatan, malah memberi lebih banyak peluang kepada rakan-rakan kerjasama dalam berkembang ke arah yang makmur. Menurut beliau, kedua-dua negara akan mengecapi kejayaan yang lebih banyak melalui pembinaan fasa kedua Koridor Ekonomi China-Pakistan pada era pembangunan baharu ini.