Paksi Tengah Dianggap Tunjang Budaya Bandar Beijing
Paksi Tengah Beijing diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada sesi ke-46 Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC) UNESCO yang berlangsung di New Delhi, India pada 27 Julai.
Ketua Pengarah Bahagian Peninggalan Sejarah Jabatan Pentadbiran Warisan Budaya Kebangsaan (NCHA) China, Deng Chao dalam temu bual bersama wartawan baru-baru ini berkata, 17 daripada 21 negara anggota WHC menyatakan sokongan secara terbuka supaya Paksi Tengah Beijing diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia.
"Para hadirin bertepuk tangan bukan kerana ia merupakan sebuah paksi tengah bandar yang dilengkapi landskap indah, tetapi juga kepada komitmen dan tindakan realistik kerajan China dalam usaha melindungi kebudayaan bandar di negara sendiri," ujar beliau.
Mula dibina pada abad ke-13, Paksi Tengah itu melintasi kota lama Beijing dari selatan ke utara.
Melalui penyusunan dan pengubahsuaian secara turun-temurun, ia menjadi paksi kota lama yang kini paling terpelihara di dunia dengan panjang keseluruhannya berukuran 7.8 kilometer dan merangkumi 15 buah tapak warisan budaya.
Deng menganggap Paksi Tengah itu sebagai tunjang kepada sejarah dan kebudayaan bandar Beijing.
"Kami dengan sukacita melihat Paksi Tengah Beijing menarik perhatian dari banyak media sosial dan golongan pemuda selepas ia tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia.
"Terdapat ramai anak muda yang bersekolah kelihatan dibawa ke sana untuk memahami sejarah negara dan menghayati budaya tradisional," kata beliau.