Produk Terkenal Kampung Satria Dah Berubah Wajah?
Satria meninggalkan Wuxi, kampung halaman tercinta ke Beijing pada 20 tahun yang lalu. Ternyata tempoh 2 dekad itu cukup untuk mengubah ‘wajah’ sesuatu tempat. Kini Wuxi seakan asing bagi Satria kerana perubahannya yang cukup drastik.
Bagaimanapun yang diluar jangkaan adalah produk khas yang terkenal dari Wuxi, berubah dalam tempoh 20 tahun ini.
Dulu Wuxi terkenal dengan pelbagai jenis makanan dan buah-buahan seperti buah pic yang manis seperti madu, bakpao xiaolong yang penuh dengan sup serta ikan dan udang dari Tasik Tai.
Disebabkan itu, saya berasa terkejut ketika membaca laporan bahawa 1/3 daripada basikal elektrik di China, dikeluarkan dari Wuxi.
Satria masih ingat, sebelum ini Satria pernah membantu mempromosikan iklan Yadea, yang merupakan antara jenama yang tersohor dari China, yang ditayangkan di skrin besar di KLCC sempena Sukan Asia Hangzhou pada tahun lalu. Tak sangka, rupa-rupanya ibu pejabat Yadea yang selalu menduduki No.1 dari segi jualan basikal elektrik di China, adalah di Wuxi.
Bagaimanapun, jika difikirkan semuanya masuk akal kerana basikal elektrik mula menjadi popular sejak 10 tahun yang lalu. Ini kerana kenderaan jenis ini mudah dikendalikan, lebih cepat berbanding basikal dan mesra alam kerana menggunakan tenaga elektrik.
Di kawasan bandar kecil dan sederhana, basikal elektrik digunakan dengan meluas khususnya sebagai pengangkutan ke tempat kerja setiap hari. Malah banyak bandar di China yang menyediakan kemudahan untuk menyewa basikal elektrik. Manakala bagi kota metropolitan seperti Beijing, ia banyak digunakan bagi perjalanan jarak dekat seperti di kawasan kediaman, pekan, atau perjalanan ke stesen subway. Contohnya kawan Satria yang memandu BMW X5 untuk ke tempat kerja, tapi menggunakan basikal elektrik untuk ke pasaraya pada hujung minggu, yang terletak di sekitar kawasan rumah. Katanya, lebih mudah menggunakan basikal elektrik kerana tidak perlu mencari kawasan letak kereta, yang merupakan sebahagian daripada masalah besar pengguna kenderaan di sini.
Yang bagusnya dengan kemunculan basikal elektrik ini secara tidak langsung telah mewujudkan perkhidmatan penghantaran bungkusan dan makanan di China. Ini kerana hampir semua pekerja dalam bidang ini menggunakan basikal elektrik. Selain itu, dengan adanya tempat pertukaran dan pengecasan bateri yang ditempatkan di tepi jalan, secara tidak langsung telah memudahkan dan melancarkan kerja para petugas penghantaran. Manakala ketika tempoh kawalan pergerakan sempena pandemik, penghantar ubat, makanan dan bungkusan yang menunggang basikal elektrik telah memberi sumbangan besar kepada keselamatan, kestabilan dan bekalan seharian yang mencukupi dalam kalangan masyarakat.
Jelas, Wuxi telah berjaya menggunakan peluang perkembangan tersebut. Kini di Wuxi terdapat 145 buah syarikat dalam bidang tersebut, termasuk 57 syarikat yang mengeluarkan basikal elektrik dan 88 lagi dalam rantaian bekalan terbabit. Pengeksportan syrikat tempatan pada tahun lalu mencatat USD420 juta dan jumlah ini terus meningkat pada setengah tahun pertama tahun ini, khususnya menyasarkan pasaran Asia Tenggara dan Afrika.
Kini Satria merancang untuk mencuba basikal elektrik, bagi menemani si kecil ke sekolah selepas ini dan kemudiaanya ketika memasuki sekolah menengah setahun kemudian.