Produk Buatan China Terserlah di Sukan Olimpik Paris
China berjaya mempamerkan daya inovasi dan kemahiran teknologi miliknya di gelanggang Olimpik menerusi produk buatan negara sendiri, antaranya peralatan sukan untuk kegunaan Sukan Olimpik Paris 2024 serta berjenis-jenis barang cenderahati yang boleh kelihatan di merata tempat.
Syarikat Pengeluaran Barbell Zhangkong dari provinsi Hebei yang pernah berperanan sebagai pembekal rasmi untuk acara angkat berat dalam Sukan Olimpik di Beijing pada 2008, Rio pada 2016 dan Tokyo pada 2021, terpilih lagi buat kali keempat sebagai pembekal rasmi untuk temasya sukan yang berprestij itu dengan menabur bakti di Paris tahun ini.
Antara peralatan sukan yang disediakan syarikat berkenaan termasuk platform angkat berat dan barbel untuk pertandingan serta peralatan lain untuk venue latihan.
Syarikat dari utara China itu membangunkan sendiri teknologi penghasilan plat barbel menerusi pengacuan sekali, yang mampu memastikan berat setiap plat barbel berada pada paras ralat seminimum 0.5‰ (per seribu) ke bawah.
Reka bentuk yang unik pada bar barbel dicipta khas dengan mengambil kira aspek kesesuaian dan keselamatan atlet angkat berat, selain memenuhi piawaian ditetapkan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).
Acara papan luncur angin iQFOiL pertama kali disenaraikan dalam Olimpik di Paris. Syarikat Bahan Komposit Suli dari Jingzhou provinsi Hubei merupakan satu-satunya pembekal peralatan luncur angin untuk perlumbaan acara berkenaan.
Selain peralatan sukan, banyak barang cenderahati Olimpik yang dihasilkan China juga mencuri perhatian ramai. Menurut Jawatankuasa Penganjur Olimpik Paris, sebanyak 80 peratus maskot temasya sukan berkenaan adalah buatan negara Tembok Besar.