Menteri Luar China, Iran Bertukar Pendapat tentang Situasi Asia Barat
China sentiasa mementingkan dan mendorong perkembangan hubungan dengan Iran dari segi strategi untuk jangka masa panjang, bersedia bersama dengan kerajaan Iran saling menyokong dalam isu-isu yang melibatkan keprihatinan teras masing-masing, dan bertindak pantas merancakkan kerjasama dalam pelbagai bidang supaya dapat menambah elemen baharu ke dalam perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara.
Demikian dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Iran, Ali Bagheri Kani pada Ahad.
Menurut Wang, Beijing mengalu-alukan Tehran menyertai aktiviti anjuran China selaku negara pengerusi bergilir Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), dan bersedia memperhebat kerjasama dengan Iran dalam kerangka BRICS demi mendorong perkembangan tadbir urus antarabangsa ke arah yang adil dan rasional.
Sementara itu, Bagheri menghargai kehadiran utusan khas Presiden China Xi Jinping ke majlis angkat sumpah Presiden Iran Masoud Pezeshkian, dan menyatakan bahawa Presiden baharu negaranya akan mempergiat perkembangan hubungan bilateral dengan China dan memastikannya tidak terkesan dalam perubahan situasi semasa serantau.
Kedua-dua pihak turut menumpukan kepada pertukaran pendapat mengenai situasi semasa di Asia Barat.
Wang Yi berkata, China sentiasa mempertahankan keadilan ketika menangani urusan Asia Barat, mengutuk keras pembunuhan yang menyasarkan pemimpin Hamas dan menyifatkan tindakan seumpama itu melanggar norma asas hubungan antarabangsa, mencabuli kedaulatan dan maruah Iran, menjejaskan proses gencatan senjata di Genting Gaza serta kedamaian dan kestabilan serantau. Tugas yang paling mendesak buat masa sekarang adalah kerjasama dari masyarakat antarabangsa bagi mendesak pihak-pihak berkonflik melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), agar menyediakan syarat bagi secepat mungkin mewujudkan gencatan senjata secara berkekalan.
Dalam pada itu, Bagheri telah memperkenalkan pendirian dan pandangannya terhadap peristiwa pembunuhan terhadap bekas pemimpin Hamas, Ismail Haniya, menghargai pendirian China yang menjunjung keadilan dalam isu Pelastin-Israel, dan menanti-nantikan China memainkan peranan yang lebih besar dalam menggalakkan keamanan serantau.