China, Fiji Sepakat Lonjakkan Hubungan Dua Hala
China bersedia bekerjasama dengan Fiji untuk melonjakkan kerjasama pragmatik kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi, kata Perdana Menteri China Li Qiang ketika menerima kunjungan rakan sejawatnya Sitiveni Rabuka di Beijing, pada Ahad.
Li berkata, China dan Fiji harus menggunakan kelebihan masing-masing untuk saling melengkapi, di samping memperkasakan kerjasama dalam pembinaan prasarana, pertanian, perikanan, industri ringan, pendidikan, pelancongan dan pengurangan kemiskinan dalam rangka inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) demi mewujudkan pembangunan bersama.
China bersedia mengimport lebih banyak produk bermutu tinggi dari Fiji, dan menyokong syarikat China melabur di Fiji, kata Li.
Beliau menekankan bahawa China menyokong wawasan "Lautan Damai" yang digagaskan Fiji, menyokong negara-negara kepulauan Pasifik melaksanakan “Strategi 2050 Benua Pasifik Biru”, dan bersedia meningkatkan komunikasi dan kerjasama dengan negara-negara kepulauan termasuk Fiji untuk mendorong pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI), selain mempromosikan bersama dunia multipolar yang sama rata dan teratur serta globalisasi ekonomi inklusif yang memanfaatkan semua pihak.
Rabuka berkata, Fiji menganggap China sebagai rakan yang boleh dipercayai.
Pihak Fiji mempertahankan prinsip satu China, menyokong pembinaan BRI dan pelaksanaan pelbagai inisiatif penting seperti GSI, dan bersedia meningkatkan kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi, perdagangan, prasarana, pertanian, perikanan, pelancongan dan kesalinghubungan agar membina masa depan hubunga dua hala yang lebih cerah, kata Rabuka.