China Tegas Kesanggupannya untuk Dorong Perdamaian di Myanmar
China dengan tegas menghormati kedaulatan, kemerdekaan, penyatuan negara dan keutuhan wilayah Myanmar, tidak mencampuri urusan dalaman negara itu.
China komited untuk proses damai yang dimiliki dan diterajui rakyat Myanmar, dan menyokong ASEAN memainkan peranan sebagai saluran utama.
Komitmen itu dizahirkan Menteri Luar China, Wang Yi ketika menerima kunjungan Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi isu Myanmar, Julie Bishop di Beijing pada Selasa.
Wang Yi berkata, isu Myanmar adalah sangat rumit, oleh itu utusan khas Setiausaha Agung PBB memainkan peranan unik dan memikul tanggungjawab penting.
Beliau berharap Bishop dapat mengendalikan hubungan antara pelbagai pihak secara objektif dan adil, dan membantu Myanmar mencari kaedah berkesan bagi mengatasi percanggahan demi kepentingan rakyat negara itu untuk jangka masa panjang.
Wang Yi berkata, China bersedia menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Bishop dan memainkan peranan konstruktif untuk mewujudkan perdamaian politik dan keamaman berkekalan di Myanmar.
Bishop berkata, sebagai negara jiran penting bagi Myanmar dan negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, China mempunyai pengaruh yang istimewa.
Beliau ingin merapatkan komunikasi dan meningkatkan kolaborasi dengan China dan ASEAN untuk mencapai konsensus ke arah menangani isu Myanmar dengan baik, menamatkan konflik dengan secepat mungkin, meredakan ketegangan situasi kemanusiaan di Myanmar dan merealisasikan kedamaian dan kemakmuran berkekalan yang diterajui rakyat negara itu.