EU Digesa Bertindakan Konstruktif Selesaikan Pertikaian EV
Suruhanjaya Eropah mengumumkan keputusan muktamad siasatan anti-subsidi ke atas import kenderaan elektrik (EV) buatan China pada 20 Ogos waktu tempatan dan mencadangkan mengenakan duti import sebanyak 17 peratus hingga 36.3 peratus selama 5 tahun ke atas EV yang diimport dari China.
Amalan perlindungan perdagangan ini bukan sahaja akan menjejaskan dengan serius kepentingan industri automotif China, tetapi juga mengganggu kerjasama antara China dan Kesatuan Eropah (EU) dalam rantaian perindustrian dan bekalan yang berkaitan, bahkan menyebabkan Eropah mengalami kerugian.
Sebenarnya, apa yang disebut "siasatan" dilancarkan Suruhanjaya Eropah tanpa permohonan dari industri EU, yang jelas bertentangan dengan aspirasi pasaran. Selain itu, untuk mencapai sasaran yang dijangkakan, Suruhanjaya Eropah mengada-adakan dan membesar-besarkan apa yang disebut program "subsidi", hanya memilih syarikat China tanpa membabitkan syarikat Eropah dan Amerika Syarikat yang jumlah eksport mereka lebih banyak berbanding China. Dengan ini, siasatan yang dijalankan itu terbukti tidak berdasarkan peraturan berkenaan, tidak telus dan tidak adil dari segi standard persampelan dan proses operasi.
China dan EU telah menjalankan lebih 10 pusingan perundingan teknikal untuk menyelesaikan pertikaian mengenai EV sejak akhir bulan Jun. Namun, pihak EU mengumumkan keputusan muktamad tanpa mempertimbangkan sepenuhnya pandangan China, dan hanya berdasarkan "realiti" yang diiktiraf oleh EU secara sepihak, dan bukan fakta yang diiktiraf bersama oleh kedua-dua pihak. Kesemuanya ini bertentangan dengan "peraturan, kedaulatan undang-undang, dan keadilan" yang meniti di bibir sesetengah orang di EU.
Tindakan segelintir politikus Eropah untuk menindas industri EV China sebenarnya juga akan menjadikan kepentingan Eropah sendiri terjejas, dan telah mengundang kritikan meluas dari tokoh-tokoh kalangan politik dan perniagaan tempatan. Canselor Jerman Olaf Scholz secara terbuka menentang sekatan ke atas perdagangan automotif, dan menyeru perdagangan yang "adil dan bebas." Akhbar "The Times" Britain pula menerbitkan artikel yang menyifatkan tindakan EU yang meminta pengguna memilih EV sambil menyekat bekalan EV yang bermutu dan harga berpatutan sebagai tidak masuk akal.
Kerjasama China-EU bertujuan untuk mewujudkan situasi saling menguntungkan dan sama menang. China sentiasa bersikap ikhlas dalam menangani pertikaian perdagangan dengan EU melalui dialog dan perundingan. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna China tidak tampil membuat keputusan melindungi kepentingan sendiri. Pada 9 Julai lalu, China telah mengemukakan rayuan mengenai kes ini kepada mekanisme penyelesaian pertikaian WTO.
EU digesa mendengar suara dalaman pertubuhannya, menyeimbangkan keuntungan dan kerugian, mempercepatkan perbincangan dengan China mengenai penyelesaian yang sesuai untuk mengelakkan geseran perdagangan daripada meningkat serta kepercayaan dan kerjasama bilateral daripada terjejas.