Xi, PM Britain Adakan Perbualan Telefon

2024-08-24 14:04:21  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer telah mengadakan perbualan telefon seperti yang dijadualkan pada petang semalam.


Setelah mengucapkan tahniah kepada Keir Starmer yang baru menyandang jawatan Perdana Menteri Britain, Xi berkata, China dan Britain sebagai dua negara anggota Majlis Keselamatan PBB dan dua entiti ekonomi utama di dunia, perlu melihat hubungan kedua-dua pihak dengan pandangan yang jauh dan strategik, mengekalkan perkongsian, meningkatkan kerjasama dan menambah dialog supaya dapat menjalin hubungan bilateral yang stabil dan saling menguntungkan demi manfaat kedua-dua negara bahkan dunia. 


"China akan mempercepat langkah dalam membangunkan kuasa produktif berkualiti baharu dan mendorong perindustrian baharu yang dipercayai akan memberi lebih banyak peluang baharu kepada pelbagai negara sedunia termasuk Britain. Sementara itu, China bersedia bersama-sama Britain untuk mengadakan dialog sama rata berdasarkan prinsip saling menghormati, memupuk rasa saling percaya, meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan strategi pembangunan di negara masing-masing, meneroka kerjasama dalam sektor kewangan, ekonomi hijau dan AI, merancakkan interaksi sosiobudaya sehingga mendorong perkembangan hubungan bilateral yang berpandukan prinsip sama untung dan sama menang," kata Xi.


"China mengambil berat terhadap hasrat Britian untuk menambah dialog, di samping bersedia mengekalkan pertukaran dengan Britain di pelbagai peringkat, dan mendorong hubungan kedua-dua pihak berkembang dengan stabil dan mampan demi keamanan dan pembangunan dunia," tambah beliau.


Keir Starmer pula berkata, pihaknya berharap agar menambah dialog dengan China di pelbagai peringkat dan bidang, mengamalkan prinsip saling menghormati dalam mengembangkan hubungan Britain-China yang stabil, strategik dan menyasarkan jangka masa yang panjang. 


Beliau menegaskan lagi Britain konsisten dalam memegang pendirian dasar Satu China.