Kerjasama Rapat Global Pacu Industri Robotik: PM China
Perdana Menteri China Li Qiang menekankan keperluan memupuk persekitaran terbuka untuk inovasi teknologi di samping menyokong firma asing dan institusi penyelidikan melabur di China.
Beliau membuat kenyataan itu ketika bercakap tentang usaha memajukan industri robotik menerusi kolaborasi antarabangsa yang lebih rapat, sepanjang tempoh tinjauan ke Ekspo Robot Dunia 2024 di Beijing pada Ahad.
Li berkata perlunya mewujudkan dan mengoptimumkan platform kerjasama dan pertukaran berhubung sektor robot, mengekalkan kestabilan dan kelancaran rantaian perindustrian dan bekalan, serta memecut inovasi teknologi robotik di peringkat global.
Bertema 'Co-fostering New Quality Productive Forces for a Shared Intelligent Future', ekspo berkenaan merupakan sebahagian daripada atur cara Persidangan Robot Dunia (WRC) 2024 selama lima hari yang dibuka pada 21 Ogos.
PM turut menggesa supaya usaha diperkukuh untuk meningkatkan inovasi teknologi dan pembangunan perindustrian ke arah memupuk enjin pertumbuhan baharu dan menambah baik kesejahteraan rakyat.
Menyebut tentang kelebihan China dalam industri robotik, PM menyatakan saiz pasaran domestik yang besar dan potensi yang cerah serta senario pengaplikasian yang pelbagai harus dimanfaatkan sepenuhnya.
Selain itu katanya, usaha mengaplikasikan inovasi teknologi berkaitan robot dalam sektor seperti pembuatan, pertanian dan perkhidmatan harus dipercepat.