Keharmonian Hidup Bersama Gajah dan Manusia, Paparan Kemajuan Perlindungan Ekologi China
Sebanyak 42 ekor gajah Asia keluar dari kawasan perlindungan dan didapati 'berjalan-jalan' di kawasan bandar Xishuangbanna, provinsi Yunnan mutakhir ini. Dengan jagaan rapi polis dan kakitangan terbabit, gajah-gajah itu kini telah selamat kembali ke kawasan perlindungan.
Ini bukanlah kali pertama kumpulan gajah 'bersiar-siar' di kawasan bandar. Pada tiga tahun lalu, 15 ekor gajah keluar dari kawasan perlindungan dan ‘menjelajah’ ke utara selama empat bulan dengan selamat.
Jika mamalia besar itu makan hasil pertanian petani, apa yang boleh kita buat? Untuk meminimumkan kerugian petani, pihak berkuasa tempatan provinsi Yunnan telah memperkenalkan sistem insurans liabiliti awam haiwan liar. Pada 2023, sistem itu disenaraikan sebagai kes teladan oleh sekretariat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam (CITES).
Penolong Ketua Pusat Perlindungan Gajah Asia Xishuangbanna, Xiong Chaoyong memberitahu bahawa dengan usaha bersama pelbagai pihak, gajah dan manusia hidup bersama secara harmoni di kawasan itu. Penduduk tempatan melindungi gajah Asia secara spontan.
Provinsi Yunnan di barat daya China merupakan salah satu kawasan yang mempunyai biodiversiti paling banyak di dunia. Provinsi itu telah membina perpustakaan sumber plasma nutfah hidupan liar yang paling besar di Asia serta mengadakan kerjasama dengan pelbagai negara dan organisasi antarabangsa.
Di negara Tembok Besar ini, kesedaran perlindungan ekologi telah berakar umbi dalam hati rakyat. Sidang pleno ke-3 Jawatankuasa Pusat ke-20 Parti Komunis China (PKC) telah mengadakan pengaturan khas untuk memperkasakan pembaharuan mekanisme tamadun ekologi serta mengemukakan mekanisme penyelarasan bagi menambah baik sistem tadbir urus persekitaran ekologi dan meningkatkan perlindungan biodiversiti.
Gunung hijau dan air jernih bagaikan gunung emas dan perak. China komited membina modenisasi yang membolehkan manusia dan alam hidup bersama secara harmoni. China akan menyumbangkan lebih banyak tenaga terhadap pembangunan hijau di peringkat global, dan menawarkan lebih banyak pelan untuk tadbir urus ekologi dunia.