China, AS Mulakan Pusingan Baharu Komunikasi Strategik

2024-08-28 12:21:23  CRI
Share with:

Pengarah Pejabat Suruhanjaya Pusat bagi Hal Ehwal Luar Wang Yi memulakan pusingan baharu komunikasi strategik China-Amerika Syarikat (AS) bersama Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih Jake Sullivan di Beijing pada Selasa.


Wang yang juga merupakan ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), berkata pelaksanaan konsensus dicapai pemimpin kedua-dua negara di San Francisco antara tugas utama sesi komunikasi kali ini.


Beliau menyatakan hubungan China-AS mengharungi pelbagai liku dalam beberapa tahun lalu, sambil menambah bahawa di bawah bimbingan strategik Presiden Xi Jinping dan Presiden Joe Biden, dua negara berjaya mencapai 'Return to Bali, Move Toward San Francisco'.

 

"Pengalaman diraih sepanjang proses itu harus dirumuskan dan pengajaran daripadanya perlu diambil.

 

"Kuncinya diletak pada prinsip saling menghormati, hidup bersama secara aman dan kerjasama saling untung," tegas Wang.

Beliau turut menzahirkan harapan agar komunikasi berkenaan dilakukan secara strategik dan substantif seperti dahulu, serta lebih konstruktif.


"Kedua-dua pihak harus mengatasi gangguan dan menghapuskan halangan untuk menggerakkan hubungan bilateral ke arah Visi San Francisco sehingga mewujudkan perkembangan yang stabil, sihat dan mampan," kata beliau.


Sementara, Sullivan berkata Presiden Biden komited menguruskan hubungan AS-China secara bertanggungjawab dan mengelak persaingan daripada bertukar menjadi konflik, di samping menjalankan kerjasama dalam bidang yang wujudnya kepentingan bersama.


"Menerusi komunikasi kali ini, kami (AS) berharap dapat mengadakan dialog produktif dengan pihak China mengenai pelbagai isu dan melaksanakan konsensus dicapai antara ketua negara," ujar beliau.