China, Afrika Selatan Eratkan Lagi Hubungan Kerjasama
Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa mengadakan perbincangan di Dewan Besar Rakyat di Beijing petang Isnin, dan turut mengumumkan peningkatan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik dalam segenap aspek untuk era baharu.
Xi menekankan bahawa terdapat tiga perkara yang perlu digariskan semula dalam perkembangan hubungan dua hala, iaitu garis panduan dalam bidang politik untuk kemajuan bersama, kerjasama yang berorientasikan sama untung dan sama menang, dan peningkatan kebersamaan dalam kalangan rakyat secara turun-temurun.
"Forum Kerjasama China-Afrika berperanan sebagai teladan bagi Kerjasama Selatan-Selatan dan juga peneraju bagi kerjasama masyarakat antarabangsa membabitkan Afrika. China bersedia bersama-sama dengan pelbagai negara Afrika termasuk Afrika Selatan terus mencetuskan momentum baharu untuk menggalakkan kerjasama yang berkualiti," kata Xi.
"Semakin rumit situasi antarabangsa, semakin mendesak bagi negara-negara 'Selatan Global' untuk meningkatkan kemandirian, perpaduan dan koordinasi, dan sinergi memelihara keadilan dan kesamarataan di persada antarabangsa. China bersedia meningkatkan koordinasi multilateral dengan Afrika Selatan dalam senario global, dan memberi sokongan yang jitu kepada Afrika Selatan yang bertugas selaku pengerusi bergilir Kumpulan 20 pada tahun depan," tambah beliau.
Sementara itu, Ramaphosa dalam perbincangan tersebut pula menyatakan bahawa Afrika Selatan bersedia terus menjadi sahabat China yang boleh dipercayai, memanfaatkan penjalinan perkongsian strategik dalam segenap aspek untuk era baharu dengan China, meneroka dan memperdalam kerjasama dalam bidang pelaburan ekonomi dan perdagangan, infrastruktur, sumber tenaga alternatif dan pembasmian kemiskian, mengeratkan pertukaran dan lawatan dalam bidang sosiobudaya dan pendidikan supaya dapat membuahkan hasil yang lebih banyak dalam perkembangan hubungan dua hala yang dilihat kondusif bagi pemodenan Afrika Selatan.
"Afrika Selatan konsisten dalam mengamalkan dasar Satu China,"tambah beliau.
Selepas perbincangan itu berakhir, kedua-dua pemimpin bersama-sama menyaksikan penandatanganan sejumlah dokumen kerjasama dua hala yang melibatkan pelbagai bidang.