Xi Bertemu Presiden Kenya
Presiden China Xi Jinping bertemu rakan sejawatnya dari Kenya William Ruto yang berada di Beijing untuk menghadiri sidang kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC), pada Selasa.
Semasa pertemuan itu, Xi mengesyorkan supaya perkongsian strategik komprehensif antara China dengan Kenya terus diperdalam.
Beliau berkata kedua-dua pihak harus menjadi rakan ikhlas yang saling mempercayai, rakan kongsi yang saling menguntungkan serta rakan strategik yang menegakkan keadilan.
Dua negara hendaklah teguh menyokong satu sama lain dalam usaha menjaga kedaulatan negara dan meneroka jalan pembangunan yang sesuai dengan keadaan sendiri.
Usaha harus dipertingkat untuk menyelaraskan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan Visi 2030 Kenya, sambil memperkukuh kerjasama membabitkan ekonomi digital, tenaga baharu, ekonomi dan dagangan serta pembasmian kemiskinan.
Sementara itu, Ruto menyatakan Kenya berharap dapat mengambil peluang daripada sidang kemuncak berkenaan untuk mengembangkan lagi perkongsian strategik komprehensif dengan China.
China dialu-alukan terus meningkatkan pelaburan di Kenya dan memperluas kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang, terutamanya kesalinghubungan, tenaga baharu serta belia.