Syabas Kontinjen Paralimpik China dan Malaysia
Sukan Paralimpik 2024 baru sahaja menutup tirainya di Paris. Syabas diucapkan kepada kontinjen China memenangi 94 pingat emas, 76 pingat perak dan 50 pingat gangsa, sekali gus menggungguli Paralimpik edisi kali ini.
Satria juga nak ucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia yang berjaya membawa pulang dua pingat emas. Meskipun gagal mencapai sasaran empat pingat emas, namun janganlah berasa kecewa kerana semua atlet yang berjuang di arena ini adalah pemenang.
Satria menghayati semangat keyakinan, sikap optimis dan rasa hormat menghormati atlet para atlet kurang upaya melalui liputan dengna kontinjen Malaysia dalam Paralimpik Beijing 2008 dan Sukan Para Asia Guangzhou. Saya menyaksikan mereka amat bangga melaungkan “Malaysia Boleh!” selepas memenangi apa juga pingat, juga sama-sama menangis ketika mendengar kisah kepayahan yang mereka hadapi, sewaktu membuat temu ramah dengan mereka. Satria juga gembira kerana berpeluang menemani mereka berkunjung ke Kota Larangan di Beijing.
Ini membuka mata Satria untuk memahami atlet kurang upaya dengan lebih jelas dan turut memberi tumpuan kepada sukan Paraolimpik kali ini.
Momen-momen yang cukup mengharukan bagi Satria, ketika Sukan Paralimpik berlangsung iaitu ketika upacara penyampaian pingat yang menyaksikan atlet para China, Jiang Yuyan dan Liu Daoming masing-masing memenangi pingat emas dan perak bagi acara renang 50 meter gaya kupu-kupu S6. Kedua-dua mereka ketika sesi kalungan pingat, merendahkan diri masing-masing supaya dapat berdiri sama tinggi dengan pemenang pingat gangsa dari Brazil yang berketinggian lebih pendek. Bukan itu sahaja, atlet para China, Cui Zhe yang memenangi pingat emas bagi acara angkat berat wanita kategori 41 kilogram, turut memeluk dan membantu menolak kerusi roda atlet negara lain ketika sesi penyampaian pingat, meskipun beliau sendiri tidak boleh berjalan dengan baik.
Situasi-situasi ini telah membuatkan Satria belajar untuk memberi perhatian kepada golongan kurang upaya di dalam kehidupan seharian. Satria juga menyedari bahawa mereka bukanlah inginkan bantuan dari orang lain, sebaliknya mereka memerlukan fasiliti yang baik dan selesa untuk memudahkan mereka bergerak dan menjalankan kehidupan seharian dengan sendiri.
Satria mendapati banyak kemudahan mesra golongan kurang upaya dipasang di pelbagai kawasan sebagai salah satu inisiatif kerajaan terhadap golongan ini. Misalnya terdapat pelantar automatik yang dipasang di setiap bas, bagi memudahkan penumpang kurang upaya masuk atau keluar dari bas. Bukan itu sahaja, di stesen subway juga dipasang lif kecil di tepi tangga bagi membantu pergerakan golongan berkerusi roda untuk naik atau turun. Bahkan di dalam keretapi laju juga menyediakan tempat khas untuk penumpang yang berkerusi roda. Kini golongan kurang upaya sudah boleh melancong dan bergerak ke mana sahaja dengan lebih mudah.
Fasiliti seperti ini dilihat sebagai satu standard dan keperluan yang penting dalam pembangunan masyarakat. Kerajaan China juga melihat jaminan tersebut sebagai sebahagian daripada tugas pentadbiran, sekali gus membuktikan jaminan hak sama rata kepada semua penduduk di negara ini, tidak terkecuali golongan kurang upaya.