China Pusat Inovasi Menyasar Pasaran Global: Tinjauan Jerman
Syarikat Jerman di China giat meningkatkan penyetempatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengukuhkan daya saing produk mereka sekali gus menjadikan negara Tembok Besar sebagai pusat inovasi menyasar pasaran global, lapor Deutsche Welle (DW).
DW memetik laporan tinjauan 'Innovation Report 2024: Acceleration Through Localization' oleh Dewan Perniagaan Jerman Luar Negara (AHK) Greater China yang menyebut usaha berterusan syarikat Jerman dalam menggerakkan penyetempatan R&D di China.
Hasil tinjauan AHK mendapati sebanyak 63 peratus responden menjalankan penyelidikan di China manakala 69 peratus sedang membangunkan produk mereka di China.
Menurut laporan berkenaan, hal ini memperlihatkan syarikat Jerman amat mementingkan pasaran China dan menganggap usaha memperkasa penyetempatan R&D akan mempercepat inovasi dan mengurangkan kos.
Selain terus memfokuskan kepada potensi pertumbuhan pasaran China, syarikat Jerman juga melihat China sebagai pusat inovasi yang menyasar seluruh dunia.
Dalam tinjauan AHK, 29 peratus responden berkata R&D yang dijalankan mereka di China bukan sekadar untuk memenuhi keperluan tempatan, malahan menyediakan produk inovatif kepada pasaran global.