Gagasan China Dapat Sambutan di Persidangan Agung IAEA
Resolusi mengenai pemerkasaan aktiviti kerjasama teknikal Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) diluluskan dalam Persidangan Agung IAEA ke-68 yang berlangsung di Vienna, pada Khamis.
Resolusi yang dikemukakan bersama Kumpulan 77 (G77) dan China itu buat julung kalinya memaktubkan konsep 'Selatan Global' dengan menekankan pentingnya sekretariat IAEA menyokong negara anggota memperkasa kerjasama teknikal, di samping mendesak negara maju memberi lebih banyak sumber kepada negara membangun untuk menggalakkan kerjasama berkenaan.
Wakil Tetap China ke IAEA Li Song dalam ucapannya menyifatkan resolusi berhubung kerjasama teknikal itu sebagai salah satu resolusi paling penting bagi negara membangun.
Menurut beliau, gagasan 'Atom untuk Selatan Global' yang diketengahkan China mendapat sambutan meluas daripada negara membangun di Persidangan Agung IAEA.
Gagasan berkenaan bertujuan menonjolkan keperluan mendesak negara Selatan Global dalam penggunaan tenaga nuklear dan teknologi berkaitan secara damai, selain memberi penekanan tentang pentingnya sokongan padu negara anggota terhadap pembangunan Selatan Global.
Dalam persidangan itu, China mengumumkan akan membuka 12 fasiliti penyelidikan saintifik berkaitan tenaga nuklear kepada Selatan Global dan negara-negara lain.
Li berkata fasiliti berkenaan merupakan produk awam antarabangsa yang ditawarkan China untuk memacu inovasi teknologi dan menggerakkan kerjasama di peringkat global.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-40 keanggotaan China dalam IAEA.
Li menyatakan China komited mengambil peluang ini untuk mendorong kerjasama menyeluruh dengan IAEA serta negara anggota lain sambil terus berkongsi pengalaman dalam pembangunan tenaga nuklear dan teknologi berkenaan.