YDP Agong Berkenan Namakan Kursi Pengajian Melayu BFSU Atas Nama Baginda

2024-09-21 14:23:30  CRI
Share with:

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) bersempena dengan nama Seri Paduka Baginda sebagai satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

 

Kursi tersebut kini dikenali sebagai Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim dan penamaan tersebut bertepatan dengan hubungan akrab Malaysia dan China yang telah terjalin sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.

 

Penamaan kursi itu turut melakar sejarah baharu dalam meraikan sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China yang telah termeterai pada 31 Mei 1974.

 

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi ke majlis tersebut berkata Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim ini merupakan satu manifestasi yang menterjemahkan sokongan institusi Raja-Raja Melayu kepada usaha pengantarabangsaan Bahasa Melayu di persada dunia.


 

Manakala Presiden BFSU, Profesor Jia Weijian menzahirkan rasa gembira beliau dan warga BFSU dengan penjenamaan nama baharu Kursi tersebut. Malah melihat nama baharu itu akan menjadi pembakar semangat BFSU dalam mengekalkan momentum usaha-usaha pengembangan Bahasa Melayu di negara Tembok Besar China.

 

Sementara itu Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad dalam ucapannya menjelaskan bahawa penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim sebagai satu penghormatan kepada usaha-usaha BFSU bersama 16 institusi pendidikan tinggi China yang lain dalam mengembangkan dan memartabatkan Bahasa Melayu di seluruh China.

 

Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU China merupakan Kursi Akademik yang ke-4 ditubuhkan KPT, di samping Kursi Pengajian Melayu di beberapa negara lain antaranya Universiti Ohio di Amerika Syarikat (1979), Universiti Leiden di Belanda (1991), Universiti Victoria di New Zealand (1995) dan Universiti Hankuk di Korea Selatan (2005).

 

Kursi akademik yang dimiliki oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) itu ditubuhkan pada 2007 di BFSU bagi mengiktiraf peranan universiti tersebut yang konsisten dalam usaha pengembangan Bahasa Melayu di China.

 

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan berangkat ke Majlis Santapan Bersama Diaspora Malaysia di Beijing hari ini.

 

Seri Paduka Baginda yang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas, mengadakan lawatan negara sulung ke republik ini selama 4 hari bermula 19 hingga 22 September atas jemputan Presiden China, Xi Jinping.

 

Kunjungan ini merupakan Lawatan Negara pertama oleh Yang di-Pertuan Agong ke China dalam tempoh 10 tahun. Ia sekaligus menandakan detik penting kedua-dua negara ketika meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini.