6 Maut, 15 Cedera Serangan Israel Sasar Beirut
Seramai enam orang maut dan 15 lagi cedera dalam serangan udara Israel menyasar pinggir bandar Beirut pada petang Selasa, menurut Kementerian Kesihatan Awam Lubnan.
Dilaporkan dua pangsapuri dalam sebuah bangunan enam tingkat di blok al-Ghobeiry, pinggir selatan Beirut menjadi sasaran bedilan tentera Israel.
Pasukan Pertahanan Israel mengesahkan jet pejuang mereka melancarkan serangan bersasar ke atas Beirut.
Menurut sumber, sasaran serangan Israel ialah ketua pasukan peluru berpandu Hizbullah Lubnan.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric berkata pasukan pengaman PBB di selatan Lubnan telah menghentikan misi rondaan susulan pertempuran antara Israel dan Hizbullah Lubnan semakin sengit.
Dalam perkembangan lain, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) akan memanggil mesyuarat tergempar mengenai situasi semasa Lubnan pada petang Rabu.