Kota Kinabalu Hab Kerjasama Malaysia-China
Kota Kinabalu bukan sahaja antara destinasi pelancongan utama yang menarik pelancong China, tetapi juga berfungsi sebagai hab kerjasama dalam bidang ekopelancongan, kebudayaan dan pendidikan antara Malaysia dan China, kata Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
"Gabungan antara keindahan alam semula jadi dan kemajuan teknologi Kota Kinabalu telah membuka peluang kerjasama yang lebih luas antara Malaysia dan China," kata beliau dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) sempena Dialog Datuk Bandar Global yang berlangsung di Hangzhou, China pada Rabu.
Beliau berkata Kota Kinabalu antara destinasi terbaik di dunia untuk menikmati keindahan matahari terbenam, khususnya di pantai Tanjung Aru yang sering menjadi tumpuan pelancong asing termasuk dari China.
Dimaklumkan, kehadiran pelancong China ke Kota Kinabalu telah mencecah 500 ribu orang sehingga suku ketiga tahun ini.
Datuk Seri Dr Sabin berkata selain pengecualian visa selama 30 hari, Sabah juga mempunyai ramai tenaga kerja yang boleh berbahasa Mandarin dan ia dipercayai dapat memberi keselesaan kepada pelancong China untuk melawat di Sabah.
"Kerajaan tempatan seperti di Kota Kinabalu, Semporna dan daerah-daerah lain sedang giat memberikan tumpuan untuk membersihkan daerah masing-masing termasuk kawasan sungai dan laut, serta mencantikkan lagi tempat-tempat yang perlu ditanam bunga dan sebagainya.
"Kebersihan dan kemesraan rakyat Sabah adalah dua perkara utama yang boleh meningkatkan lagi pelancong dari China," ujarnya.
Tambah beliau, Kota Kinabalu juga mempunyai daya tarikan dari segi budaya termasuk sambutan pelbagai pesta tradisional yang meriah serta makanan yang bercita rasa tempatan.