Xi, Putin Bertukar Ucapan Tahniah Ulang Tahun Ke-75 Ikatan Dipomatik
Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin telah bertukar ucapan tahniah atas ulang tahun ke-75 ikatan diplomatik kedua-dua negara hari ini.
Xi menyatakan, pada era baharu yang penuh dengan pergolakan yang tiada tolok banding dalam seratus tahun lalu, kedua-dua negara terus memupuk rasa saling percaya dalam bidang politik, membuahkan hasil yang melimpah dalam kerjasama bilateral, menyuburkan persahabatan tradisional yang diwariskan dari generasi ke generasi, dan menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, terbentuknya dunia multipolar yang sama rata dan teratur, serta globalisasi ekonomi yang inklusif.
"Saya amat mementingkan perkembangan hubungan dengan Rusia, bersedia dengan Presiden Putin untuk mengambil peluang yang wujud dalam ulang tahun ke-75 ikatan dipomatik ini, mengeratkan kerjasama komprehensif, bersama-sama mendorong perkembangan hubungan dua hala dan memacu modenisasi yang berkualiti supaya dapat memberi sumbangan baharu kepada kedamaian dan kestabilan dunia serta pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan," kata Xi.
Sementara itu, Putin menyatakan, hubungan Rusia-China berada pada tahap terbaik dalam sejarah. Kedua-dua pihak dikehendaki terus memperkasakan kerjasama dalam pelbagai aspek termasuk politik, ekonomi dan perdagangan, sains dan teknologi, mengekalkan penyelarasan yang efisien dalam menangani urusan serantau dan antarabangsa, dan bersama menyumbang kepada terbentuknya landskap dunia yang multipolar dan adil.
"Saya yakin, siri konsensus yang dicapai dengan Presiden Xi pasti akan dilaksanakan secara menyeluruh oleh kedua-dua pihak, dan perkongsian strategik komprehensif Rusia-China untuk era baharu akan menjadi semakin kukuh yang dipercayai kondusif bagi keamanan dan kestabilan benua Euroasia bahkan dunia," kata Putin.