Landskap Inovasi Sains dan Teknologi Dunia yang Berunsurkan China
FAST, teleskop radio sfera apertur yang terbesar dan paling sensitif di dunia yang dikenali sebagai 'mata langit' China yang terletak di pekan Pingtang provinsi Guizhou, merupakan satu lokasi tumpuan pelancong sempena cuti Hari Kebangsaan China. Sejak siap dibina pada September tahun 2016, FAST bukan sahaja membolehkan dunia ini dapat melihat dengan lebih jauh dan jelas, tetapi juga mengharumkan nama China di persada dunia dalam memacu penyelidikan angkasa lepas serta meningkatkan pertukaran dan kerjasama antarabangsa. Kejayaan FAST sebenarnya salah satu cermin tentang pencapaian inovasi sains dan teknologi China.
Dalam tempoh 75 tahun yang lalu, inovasi sains dan teknologi China bukan sahaja dijadikan penggerak utama kepada modeniasi di dalam negeri, tetapi juga pemangkin bagi pembangunan industri pembuatan kecerdasan buatan (AI) di dunia, malah penyumbang yang holistik bagi kemajuan umat manusia.
Kirill Babaev, Pengarah Institut Pengajian China dan Asia Zaman Moden di bawah Akademi Sains Rusia menyatakan bahawa kelebihan besar China adalah kemampuannya dalam menggubal rancangan bagi jangka masa panjang dan keupayaan kerajaan dan rakyatnya yang kuat dalam melaksanakan sesuatu.
China sentiasa menekankan kemandirian serta berdikari dalam bidang sains dan teknologi, dan berturut-turut mencapai kemajuan dengan merebut setiap peluang pembangunan baharu yang dibawakan revolusi sains dan teknologi serta pembaharuan industri. Antaranya industri tenaga alternatif China yang mula terserlah di persada dunia, bukan sahaja menyumbang kepada pembekalan rantaian industri sejagat yang semakin lengkap, dan mendorong pembangunan hijau dan karbon rendah sosioekonomi, tetapi juga memberi sumbangan besar kepada usaha dunia dalam mengatasi perubahan iklim dan transformasi hijau sektor sumber tenaga.
Sains dan teknologi wujud tanpa batasan antara negara. Setakat ini, China sudah menjalin hubungan kerjasama sains dan teknologi dengan lebih 160 buah negara dan kawasan di samping menandatangani 118 buah perjanjian kerjasama sains dan teknologi antara kerajaan. Ketersediaan kerjasama yang bersifat terbuka yang diterajui China dalam bidang sains dan teknologi telah menggalakkan perkongsian dan pembangunan bersama dalam senario global.
Boleh dijangkakan, melalui lebih banyak kemajuan dalam bidang inovasi dan pelaksanaan projek mega, China bukan sahaja akan mendapat sokongan yang jitu untuk memacu modeniasi di dalam negeri, malahan juga menyumbang lebih banyak kepada inovasi sains dan teknologi dunia dan kemajuan umat manusia.