China Zahir Kebimbangan terhadap Dasar Sekatan AS
Menteri Perdagangan China, Wang Wentao mengadakan perbualan dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Gina Raimondo menerusi telefon pada Selasa.
Kedua-dua pihak mengadakan perbincangan yang terus terang, mendalam dan pragmatik tentang pelaksanaan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara di San Francisco, serta isu ekonomi dan perdagangan yang diberi perhatian bersama.
Wang mengatakan, pertemuan bersejarah pemimpin kedua-dua negara di San Francisco pada Nov lalu menggariskan hala tuju tentang hubungan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara pada masa depan.
"Hubungan ekonomi dan perdagangan patut berperanan sebagai asas bagi hubungan kedua-dua negara.
"China bersedia bersama pihak AS melaksanakan konsensus tersebut berdasarkan prinsip saling menghormati, wujud bersama secara damai dan kerjasama saling menang, agar mendorong hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS kembali ke landasan yang betul," kata Wang.
Wang juga meluahkan kebimbangan China berhubung dasar Washington terhadap semi konduktor dan sekatannya terhadap kereta bersambung pintar (ICV) China.
Menurutnya, menggariskan batas sempadan keselamatan negara dalam bidang ekonomi dan perdagangan amat penting bagi memelihara kestabilan rantaian perindustrian dan rantaian bekalan sejagat serta membina iklim dasar yang baik bagi kerjasama industri kedua-dua negara.
"AS digesa mementingkan kebimbangan perusahaan China, menarik balik sekatan terhadap perusahaan China secepat mungkin, dan membaiki iklim perniagaan bagi perusahaan China di AS," kata Wang.