Pembangunan China, Jepun Bukan Cabaran Sebaliknya Peluang - PM Li
Pembangunan China dan Jepun bukan cabaran, sebaliknya peluang penting bagi pihak masing-masing.
Demikian dinyatakan Perdana Menteri China, Li Qiang yang berada dalam jadual siri mesyuarat pemimpin kerjasama Asia Timur ketika bertemu dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Ishiba Shigeru di Vientiane, Laos pada Khamis waktu tempatan.
Li menzahirkan harapan agar Jepun mematuhi prinsip dan konsensus yang terkandung dalam Empat Dokumen Politik China-Jepun, mengambil tindakan sehaluan dengan China, mengekalkan hala tuju yang betul bagi hubungan bilateral dan berusaha memelihara asas politik yang terkait dengannya, di samping terus menambah dialog dan kerjasama, mendorong hubungan bilateral yang strategik dan saling menguntungkan berkembang ke arah yang konstruktif dan stabil yang boleh memenuhi keperluan era baharu.
"China bersedia bersama dengan Jepun memacu ekonomi baru muncul dalam bidang inovasi sains dan teknologi, pendigitalan dan pembangunan hijau, memanfaatkan mekanisme dialog dalam kawalan eksport, dan bersama-sama memastikan kelancaran rantai industri dan rantai bekalan dalam senario global, serta kelangsungan dalam sistem perdagangan bebas terjamin.
Sementara itu, Ishiba Shigeru dalam pertemuan itu pula menyatakan bahawa Jepun tidak mahu “memutuskan hubungan” dengan China, dan berharap membuahkan hasil yang ketara dalam kerjasama pelbagai bidang demi manfaat rakyat kedua-dua negara. Selain itu, Jepun konsisten dalam pendirian mengenai isu Taiwan yang termaktub dalam Pengumuman Bersama Jepun-China.