Xi Terima Kunjungan Pemimpin Vietnam

2024-10-12 14:32:53  CRI
Share with:

Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China yang juga Presiden China, Xi Jinping telah menerima kunjungan ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam (CPV) dan Setiausaha Tetap Sekretariat Jawatankuasa Pusat CPV, Luong Cuong, di Beijing pada Jumaat.

Xi menegaskan bahawa berpegang kepada kepimpinan parti Komunis dan sistem sosialis merupakan ciri terpenting China dan Vietnam, dan juga merupakan asas politik yang paling kukuh untuk mengeratkan hubungan dua hala.


“China mengutamakan Vietnam dalam diplomasi kejiranan dan bersedia untuk bekerjasama dengan Vietnam untuk membina komuniti berkongsi nasib China-Vietnam yang berorientasikan kepentingan strategik.


“China dan Vietnam perlu berpegang kepada hala tuju politik yang betul, meningkatkan pertukaran tentang fahaman dan konsep, membina landskap bagi mewujudkan situasi sama untung, mencungkil potensi kerjasama, berusaha untuk menggalakkan penyelarasan dan kesalinghubungan dalam pelaksanaan strategi pembangunan di negara- masing-masing, memperjuangkan matlamat baharu tentang kerjasama yang berkualiti, memupuk persahabatan dalam kalangan rakyat yang dilihat boleh dijadikan asas kukuh bagi perkembangan hubungan dua hala untuk jangka masa panjang,” kata Xi.

Luong Cuong pula menyatakan bahawa pihaknya bersedia bekerjasama dengan China untuk melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara pada beberapa tahun kebelakangan ini bagi mengukuhkan hubungan parti dan negara kedua-dua pihak, menambah pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang, menangani dan mengawal perselisihan secara berhemah, sekali gus memperhebat perkongsian strategik komprehensif Vietnam-China dan mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib kedua-dua negara.