Apa Sebabnya Kerjasama China-ASEAN Semakin Kukuh di Sebalik Suara Gangguan?

2024-10-13 14:29:07  CRI
Share with:

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-27 yang diadakan semasa berlangsungnya Sidang kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang melabuh tirainya di Vientiane, Laos baru-baru ini, Perdana Menteri China, Li Qiang mengemukakan tiga cadangan bagi memperkasa kerjasama China-ASEAN yang melibatkan pembinaan rangkaian kesalinghubungan tiga dimensi, pengukuhan kerjasama dalam industri baharu muncul, dan peningkatan pertukaran sosiobudaya. 


Menyingkap kembali landskap kerjasama ASEAN dengan luar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China kekal menjadi rakan dagang terbesar ASEAN selama 15 tahun berturut-turut, dan ASEAN pula muncul sebagai rakan dagang terbesar China selama empat tahun berturut-turut. Jumlah nilai perdagangan antara kedua-dua pihak bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 10% tahun ke tahun. 


Pengumuman oleh pemimpin China dan 10 negara ASEAN berhubung penamatan rundingan mengenai penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA)Versi 3.0 merupakan antara hasil utama yang dibuahkan dalam sidang kemuncak ASEAN kali ini, dan perjanjian berkenaan dijangka ditandatangani menjelang 2025.  


CAFTA versi 3.0 merangkumi sembilan bidang yang melibatkan sektor yang sedia ada dalam Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN serta bidang baharu muncul yang berpotensi besar dalam kerjasama kedua-dua pihak, termasuk: ekonomi digital, ekonomi hijau, kesalinghubungan rantaian bekalan, prosedur kastam dan pemudahan perdagangan, dan kerjasama dalam bidang ekonomi dan teknologi.


Namun, terdapat sedikit sebanyak suara gangguan yang boleh kedengaran sebelum dan selepas sidang kemuncak ASEAN kali ini. Sebagai contoh, ada beberapa politikus Jepun mengemukakan cadangan "NATO versi Asia";  dan Amerika Syarikat bersama dengan Filipina pula berniat mencetuskan percanggahan dan konfrontasi dengan menunggang isu Laut China Selatan (LCS). Kesemua gerak geri seumpama ini bertentangan dengan jangkaan ASEAN untuk mengekalkan keamanan dan pembangunan di rantau ini, dan terus mengundang kritikan dan bantahan secara meluas. Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan tegas menyatakan bahawa "ASEAN tidak memerlukan NATO". Presiden Laos, negara tuan rumah sidang kemuncak kali ini, Thongloun Sisoulith juga menegaskan bahawa ASEAN harus berpegang kepada matlamat bersama iaitu keamanan, kestabilan dan pembangunan yang mampan, dan mempertahankan amalan multilateralisme berdasarkan pewujudan kesaksamaan dan sama untung.


Mengenai isu LCS, China menegaskan bahawa langkah-langkah yang diambilnya dalam melindungi kedaulatan serta hak dan kepentingan milik negara sendiri adalah munasabah dan sah. China konsisten dalam pendirian menangani perselisihan secara berhemah dengan negara berkenaan melalui dialog dan perundingan, dan komited menyegerakan perundingan mengenai Kod Tatalaku di LCS dengan negara-negara ASEAN supaya dapat memuktamadkan keputusan dengan secepat mungkin.


Masyarakat antarabangsa boleh mendapat inspirasi dan rujukan dari pengalaman berharga dalam kerjasama China-ASEAN, iaitu mengetepikan suara gangguan, memberi tumpuan kepada kepentingan bersama, dan menangani perselisihan secara berhemah.