Niat AS Canang 'Volt Typhoon' Terpampang Jelas

2024-10-15 14:47:37  CRI
Share with:

Agensi keselamatan siber China menerusi laporan khas ketiga disiar pada Isnin mendedahkan bahawa operasi 'Volt Typhoon' merupakan farsa politik yang dimainkan kerajaan Amerika Syarikat (AS).


Laporan itu membongkar amalan pengintipan dilakukan AS dan negara Perikatan Lima Mata (FVEY) menyasar China dan beberapa negara lain termasuk Jerman, malah pengguna internet seluruh dunia.


Laporan berkenaan turut menunjukkan bukti bahawa kerajaan AS mengambinghitamkan negara lain menerusi pelbagai modus operandi.


Terdahulu, Pusat Respons Kecemasan Virus Komputer Negara China (CVERC) menerbitkan dua laporan khas pada 14 April dan 8 Julai, mendedahkan niat AS menconteng arang di muka China menerusi rancangan 'Volt Typhoon'.


Menurut laporan terkini, 'Volt Typhoon' merupakan tindakan mereka-reka maklumat palsu yang dirancang teliti bagi memenuhi kepentingan kumpulan modal AS.


Taktik dalam operasi itu didapati sama dengan yang diguna pakai oleh agensi perisikan AS dan negara FVEY.


Dengan mereka-reka kumpulan penyerang siber 'Volt Typhoon' yang berlatarbelakangkan China, AS berniat mengekalkan hak pemantauan di bawah Seksyen 702 Akta Pemantauan Perisikan Asing (FISA). 


Dengan mandat daripada seksyen itu, agensi kerajaan AS boleh menjalankan pengintipan terhadap pengguna internet seluruh dunia malah terus mendapat data pengguna daripada pelayan penyedia perkhidmatan internet domestik.


Untuk memperoleh maklumat risikan, pejabat operasi akses khas di bawah Agensi Keselamatan Nasional AS (NSA) melakukan operasi akses secara tersembunyi menyasar Asia, Eropah Timur, Afrika, Asia Barat dan Amerika Selatan. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa lebih 50,000 perisian pengintip telah dipasang dalam sasaran ditetapkan mereka.


Menurut dokumen NSA, hampir semua bandar utama di China menjadi sasaran operasi NSA berkenaan dan sejumlah besar aset siber telah digodam.