Xi Hargai Sumbangan NCUSCR kepada Hubungan China, AS
China sentiasa menguruskan hubungan Beijing-Washington mengikut prinsip saling menghormati, hidup bersama secara damai dan bekerjasama demi sama menang, kata Presiden Xi Jinping.
Presiden Xi merakamkan perutusan tahniah sempena makan malam gala tahunan Jawatankuasa Nasional mengenai Hubungan Amerika Syarikat (AS)-China (NCUSCR) pada Selasa.
Beliau melahirkan penghargaan atas usaha tanpa jemu yang dilakukan NCUSCR untuk menjayakan pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara, sambil menzahirkan ucapan tahniah kepada William E. Ford yang meraih anugerah dalam gala berkenaan.
Xi menyatakan kejayaan China dan AS merupakan peluang bagi satu sama lain, dan dua negara harus menjadi penggerak dan bukannya penghalang kepada pembangunan satu sama lain.
Beliau mengulangi bahawa China sudi menjadi rakan kongsi dan sahabat baik dengan AS kerana ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara malah seluruh dunia.
Xi berkata keterbukaan sinonim dengan pemodenan ala China dan pintu negara Tembok Besar akan dibuka makin luas.
Usaha akan dipergiat untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang berkelas dunia dan mengoptimumkan kelebihan pasaran raksasa serta potensi permintaan domestik sehingga mencipta lebih banyak peluang kepada kerjasama China-AS, tambah Xi.
Beliau berharap NCUSCR dan rakan-rakan dari segenap lapisan masyarakat supaya terus menyokong hubungan China-AS, di samping aktif terlibat dalam proses pemodenan China dan memperoleh manfaat daripadanya.
Pada hari sama, Presiden AS Joe Biden juga mengirimkan perutusan tahniah kepada gala tahunan NCUSCR itu.