Myanmar Digesa Siasat Serangan Sasar Konsulat China
China mengemukakan bantahan keras kepada Myanmar susulan insiden serangan menyasar konsulat jeneralnya di Mandalay, sambil menggesa siasatan menyeluruh dijalankan sehingga mengheret pelaku ke muka pengadilan.
Jurucakap Kementerian Luar Lin Jian turut menggesa pihak berkuasa Myanmar meningkatkan usaha untuk menjamin keselamatan kedutaan, konsulat, institusi, projek serta warga China di Myanmar dan mengelak insiden serupa daripada berulang.
Dilaporkan, sebuah bangunan pejabat Konsulat Jeneral China di Mandalay diserang dengan bahan letupan pada kira-kira pukul 5 petang Jumaat.
Serangan itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa, tetapi merosakkan sebahagian premis konsulat.
Menurut Lin, Myanmar sudah mengambil siri langkah yang diperlukan dan berjanji akan memenuhi komitmen dan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa serta memikul tanggungjawab utama dalam melindungi keselamatan warga dan institusi China di negara itu.