Nilai BRICS Semakin Terserlah

2024-10-22 17:43:45  CRI
Share with:


Sidang kemuncak BRICS ke-16 dijadual berlangsung di Kazan, Rusia bermula 22 hingga 24 Oktober. Ia merupakan persidangan seumpama yang julung kalinya diadakan selepas BRICS menerima anggota baharu.


Sidang kemuncak kali ini akan menyaksikan kehadiran pemimpin dari lebih 30 negara dan pertubuhan antarabangsa untuk bersama-sama membincangkan isu kerjasama dan pembangunan.


Lebih 30 buah negara antaranya Thailand, Cuba, Syria dan Belarus menyatakan hasrat untuk menganggotai BRICS. Kenapa BRICS disambut baik oleh semakin banyak negara dan apa peranan yang boleh dimainkannya?


Kini, dunia berdepan perubahan yang tidak pernah berlaku dalam tempoh seabad. Segelintir kuasa besar bertindak mengekang negara pasaran baru muncul dan negara membangun untuk tujuan geopolitik sendiri. Pada masa sama, kebangkitan Selatan Global menjadi arus sezaman yang tidak dapat dihalang.


Dalam konteks ini, mekanisme kerjasama BRICS semakin menyerlahkan nilainya sebagai wadah penting bagi Selatan Global untuk memperkasa kolaborasi dan memajukan pembangunan.


Mekanisme kerjasama BRICS selaras dengan aspirasi negara membangun untuk mewujudkan pembangunan bersama.

Negara-negara BRICS sentiasa mengekalkan sistem perdagangan multilateral, memelihara dengan berkesan kestabilan dan kelancaran rantaian perindustrian dan bekalan global, sekali gus menggerakkan globalisasi ekonomi yang inklusif dan membawa manfaat kepada semua pihak.


Sejak Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran dan Ethiopia menganggotai BRICS secara rasmi pada Januari tahun ini, negara BRICS mewakili hampir separuh populasi dunia dan dijangka menyumbang lebih 50 peratus kepada pertumbuhan ekonomi global.


Bukan itu sahaja, mekanisme BRICS juga menyediakan wadah dan peluang untuk negara-negara terbabit menyertai tadbir urus global.


Sebagai anggota pengasas, China teguh menyokong dan menyertai mekanisme kerjasama itu malah memainkan peranan sebagai peneraju termasuk mengemukakan 'semangat BRICS’, mengajukan penubuhan Bank Pembangunan Baharu (NDB) dan sebagainya.


Dengan usaha bersama China dan anggota lain BRICS, sidang kemuncak kali ini pasti akan menyuntik lebih banyak kestabilan dan tenaga positif untuk dunia, sekali gus meningkatkan swadaya Selatan Global.