Perlunya Sinergi Bina Sistem Tadbir Urus Harta Intelek: MFA
China sedia bekerjasama dengan semua negara untuk memperkasa dialog dan kolaborasi yang praktikal dan saling menguntungkan serta berganding bahu ke arah membina sistem tadbir urus global mengenai harta intelek berasaskan prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi.
Demikian kata jurucakap Kementerian Luar (MFA) Lin Jian berikutan Persidangan Dunia Persatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Harta Intelek (AIPPI) 2024 di Hangzhou baru-baru ini.
Ini merupakan kali pertama persidangan berkenaan diadakan di China sejak penubuhan AIPPI pada 127 tahun lalu.
Lin berkata China giat berusaha untuk membina negara kuat dalam harta intelek dan melibatkan diri secara mendalam dalam tadbir urus harta intelek global.
Menurut beliau, China merupakan negara pertama dunia yang memiliki lebih daripada 4 juta paten ciptaan domestik, dengan bilangan permohonan paten antarabangsa di bawah Perjanjian Kerjasama Paten (PCT) berada di kedudukan teratas selama lima tahun berturut-turut.
Selain itu, China juga menjalin hubungan kerjasama yang stabil dengan lebih 80 negara dan wilayah, menyaksikan lebih daripada 200 perjanjian kerjasama harta intelek sedang dalam pelaksanaan.