Saranan China Perjelas Hala Tuju Kerjasama BRICS
Sidang Kemuncak BRICS ke-16 berlangsung di Kazan, Rusia pada Rabu menyaksikan pemimpin negara terlibat bersama membincangkan kerjasama BRICS dan mengeluarkan Deklarasi Kazan.
Ketika menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak itu, Presiden China Xi Jinping menekankan perlunya mengetengahkan BRICS sebagai saluran utama untuk memperkasa solidariti dan kolaborasi Selatan Global serta pelopor dalam mendorong pembaharuan tadbir urus global.
Beliau turut menyarankan semua pihak berganding bahu membina BRICS yang komited terhadap keamanan, inovasi, pembangunan hijau, keadilan serta pertukaran sesama rakyat yang lebih rapat.
'Keluarga BRICS' mewakili kira-kira 30 peratus agregat ekonomi global, hampir separuh populasi dunia dan seperlima dagangan sejagat.
Dunia menaruh harapan tinggi terhadap BRICS agar dapat menyuntik lebih banyak tenaga untuk memelihara keamanan dan pembangunan.
Saranan yang dikemukakan China meliputi aspek keselamatan, pembangunan, tadbir urus global, interaksi dan saling belajar sesama tamadun dan lain-lain. Ia mengintegrasikan siri inisiatif global dan pengalaman pembangunan negara Tembok Besar dengan visi pembangunan BRICS serta aspirasi masyarakat antarabangsa.
BRICS yang komited terhadap keamanan bermakna para anggota perlu menjadi teladan dalam mengamalkan konsep keselamatan baharu dan memainkan peranan lebih penting dalam memelihara keselamatan dunia.
BRICS yang komited terhadap inovasi dan pembangunan hijau pula menyasar meningkatkan keupayaan pembangunan serta taraf kerjasama antara negara anggota.
China memberi tumpuan untuk menaik taraf kerjasama BRICS supaya ia dapat membantu memacu pembangunan bersama Selatan Global.
Untuk itu, pelbagai usaha dilakukan termasuk menubuhkan Pusat Pembangunan dan Kerjasama Kecerdasan Buatan China-BRICS, Pusat Penyelidikan Antarabangsa Sumber Laut Dalam BRICS, Rangkaian Kerjasama Ekosistem Digital BRICS dan sebagainya.
Selain itu, China juga giat meneroka kerjasama BRICS dalam sektor seperti pembangunan hijau, tenaga bersih dan perlombongan mesra alam.
Saranan membina BRICS yang komited terhadap keadilan bertujuan menyokong Selatan Global menyertai penggubalan dasar ekonomi dan peraturan antarabangsa secara menyeluruh, sekali gus menggalakkan multipolarisasi dunia yang sama rata dan teratur serta globalisasi ekonomi yang inklusif dan membawa manfaat kepada semua.
Saranan membina BRICS yang komited terhadap pertukaran sesama rakyat pula memfokuskan kepada aspek keterangkuman antara tamadun berbeza.
Kerjasama BRICS selama 18 tahun terbukti selaras dengan arus utama dunia, dan mencerminkan aspirasi bersama negara membangun terhadap kedamaian, pembangunan dan kerjasama.
Memandang ke hadapan, negara BRICS perlu memperkasa kesatuan dan pengukuhan diri sehingga muncul sebagai tulang belakang dalam membina dunia yang indah.