Tiga Inisiatif Global China Dalam BRICS Tarik Perhatian Dunia
Pengerusi Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berpendapat China memainkan peranan amat penting dalam usaha BRICS untuk mewujudkan satu sistem global yang lebih adil dan saksama.
Ujarnya Presiden China Xi Jinping juga telah mengutarakan tiga inisiatif global yang cukup utuh dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut iaitu membina dunia yang harmoni, lebih indah dan keuntungan yang dikongsi bersama.
Datuk Majid berkata nilai yang diutarakan China untuk mengurangkan konfrontasi, peperangan, membentuk kerjasama dan membina kesejahteraan sejagat mendapat perhatian dunia, dan Malaysia menyokong segala usaha tersebut.
Pandangan tersebut turut dipersetujui Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai ketika mengulas mengenai pengiktirafan Malaysia sebagai negara rakan BRICS. Beliau menganggap penyertaan Malaysia selaku negara rakan sebagai satu langkah yang bijak dan rasional.
Beliau berkata ada sesetengah pihak sedikit gementar dengan tindakan Malaysia dalam BRICS, namun idea ini adalah sesuatu yang praktikal kerana dunia kini sudah berubah.
Datuk Seri Wong berkata kini negara tidak boleh hanya tertumpu kepada satu kuasa sahaja, sebaliknya perlu multipolar. Justeru menjadi negara rakan BRICS secara tidak langsung akan membantu memacu ekonomi Malaysia kerana anggota dan negara-negara rakan BRICS ini mempunyai 'kuasa ekonomi global' yang agak tinggi.