Misi Shenzhou-18 Berjaya
Misi kapal angkasa Shenzhou-18 diselesaikan dengan jayanya apabila kapsul yang membawa tiga angkasawan selamat mendarat di tapak pendaratan Dongfeng, wilayah Mongolia Dalam pada pukul 1.24 pagi Isnin, menurut Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA).
Misi berkenaan menyaksikan Ye Guangfu menjadi angkasawan pertama China yang berada di orbit selama lebih setahun secara kumulatif, manakala Li Cong dan Li Guangsu menyempurnakan tugasan sulung mereka.
Shenzhou-18 dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China pada 25 April 2024 dan berjaya bercantum dengan modul teras Tianhe.
Sepanjang berada di orbit selama 192 hari, tiga angkasawan yang dilahirkan pada 1980-an melakukan sebanyak dua kali aktiviti luar kenderaan (EVA).
Selain menyelesaikan pemasangan peranti perlindungan serpihan angkasa, mereka juga menjalankan kerja penyahpepijatan, penyelenggaraan dan pembaikan di dalam dan luar kabin.
Pada masa sama, dengan kerjasama ahli penyelidik di Bumi, eksperimen sains angkasa seperti fizik asas mikrograviti, sains bahan angkasa, sains hayat angkasa serta perubatan dan teknologi aeroangkasa berjaya diselesaikan.